Pergi ke kandungan

Jerman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Republik Persekutuan Jerman
Bundesrepublik Deutschland
Jata persekutuan Jerman
Jata persekutuan
Lagu kebangsaan: Rangkap ketiga Das Lied der Deutschen[1]
Lokasi Jerman (hijau tua) dalam Kesatuan Eropah (hijau muda)
Lokasi Jerman (hijau tua) dalam Kesatuan Eropah (hijau muda)
Ibu negara
dan bandar terbesar}
Berlin
52°31′U 13°23′T / 52.517°U 13.383°T / 52.517; 13.383
Bahasa rasmiBahasa Jerman[2]
DemonimOrang Jerman
PemerintahRepublik persekutuan berparlimen
 Presiden
Frank-Walter Steinmeier[3]
 Kanselor
Friedrich Merz[4]
Badan perundanganBundestag dan Bundesrat
Pembentukan
18 Januari 1871
23 Mei 1949
3 Oktober 1990
Keluasan
 Jumlah
357,683 km2 (138,102 bt2)[5] (ke-63)
Populasi
 Perkiraan 31 Disember 2025
83,467,117[6] (ke-19)
233.4/km2 (604.5/sq mi)
KDNK (PPP)2026
 Jumlah
AS$6.41 trilion[7] (ke-6)
 Per kapita
AS$76,750[7]
KDNK (nominal)2026
 Jumlah
AS$5.45 trilion[7] (ke-3)
 Per kapita
AS$65,300[7]
Gini (2025)negative increase 30.1[8]
sederhana
HDI (2023) 0.959[9]
sangat tinggi (ke-5)
Mata wangEuro (€) (EUR)
Zon waktuUTC+1 (CET)
 Musim panas (DST)
UTC+2 (CEST)
Kod panggilan+49
Kod ISO 3166DE
DPT internet.de
Bahasa Denmark, Sorbia Hulu, Sorbia Hilir, Frisia Utara, Frisia Saterland, Jerman Rendah dan Romani diiktiraf dan dilindungi sebagai bahasa serantau atau minoriti.[10]

Jerman, secara rasmi Republik Persekutuan Jerman (Jerman: Bundesrepublik Deutschland; [ˈbʊndəsʁepuˌbliːk ˈdɔʏtʃlant]), ialah sebuah negara di Eropah Tengah. Negara ini terletak di antara Laut Utara dan Laut Baltik di utara dengan Pergunungan Alps di selatan. Jerman bersempadan dengan Denmark di utara; Poland dan Republik Czech di timur; Austria dan Switzerland di selatan; serta Perancis, Luxembourg, Belgium dan Belanda di barat. Enam belas negeri persekutuannya meliputi keluasan 357,683 km2 (138,102 bt2)[5] dan mempunyai 83,467,117 orang penduduk pada 31 Disember 2025,[6] menjadikannya negara anggota Kesatuan Eropah yang paling ramai penduduk. Berlin ialah ibu negara dan bandar terbesarnya.

Pelbagai puak Jermanik telah mendiami kawasan Eropah Tengah sejak zaman purba. Wilayah-wilayah yang kemudiannya membentuk Jerman menjadi teras Empayar Suci Rom sejak abad ke-10 hingga pembubarannya pada tahun 1806. Pada abad ke-16, wilayah Jerman menjadi pusat Reformasi Protestan yang dicetuskan oleh Martin Luther. Negara bangsa Jerman moden disatukan di bawah kepimpinan Prusia pada tahun 1871 dan membentuk Empayar Jerman. Selepas kekalahannya dalam Perang Dunia Pertama, pemerintahan beraja digantikan oleh Republik Weimar. Pengambilalihan kuasa oleh Parti Nazi pada tahun 1933 membentuk sebuah pemerintahan diktator totalitarian yang mencetuskan Perang Dunia Kedua di Eropah serta melaksanakan Holokus.[11] Selepas kekalahannya pada tahun 1945, Jerman diduduki oleh pihak Berikat dan dibahagikan pada tahun 1949 kepada Republik Persekutuan Jerman di barat dan Republik Demokratik Jerman di timur. Kedua-dua negara itu disatukan semula pada 3 Oktober 1990.[12]

Jerman ialah sebuah republik persekutuan berparlimen yang terdiri daripada 16 buah negeri, dengan kuasa kerajaan dibahagikan antara persekutuan dan negeri menurut Undang-undang Asas.[13] Presiden persekutuan berkhidmat sebagai ketua negara, manakala kanselor persekutuan mengetuai kerajaan. Jerman merupakan kuasa ekonomi dan perindustrian utama; pada tahun 2026, Tabung Kewangan Antarabangsa menganggarkan keluaran dalam negara kasar nominalnya sebanyak AS$5.45 trilion dan KDNK berdasarkan pariti kuasa beli sebanyak AS$6.41 trilion, menjadikannya ekonomi terbesar di Eropah dan antara yang terbesar di dunia.[7] Negara ini juga mencatatkan Indeks Pembangunan Manusia sebanyak 0.959 bagi tahun 2023, berkongsi kedudukan kelima di dunia.[9]

Jerman Barat merupakan salah sebuah daripada enam anggota pengasas komuniti-komuniti Eropah yang mendahului Kesatuan Eropah. Jerman kini merupakan anggota zon euro dan Kawasan Schengen.[14] Negara ini turut menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,[15] Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara,[16] Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi,[17] G7 dan G20. Saiz ekonomi, jumlah penduduk dan kedudukannya dalam institusi-institusi tersebut menjadikan Jerman salah sebuah negara yang paling berpengaruh dalam politik dan ekonomi Eropah.


Puak-puak Jermanik

[sunting | sunting sumber]

Asal-usul orang-orang Jermanik dikatakan bermula sewaktu Zaman Gangsa atau sekurang-kurangnya ketika Zaman Besi sebelum era orang-orang Rom. Dari selatan Scandinavia dan utara Jerman, puak-puak ini mula berkembang ke selatan, timur dan barat pada abad pertama SM dan membuat perhubungan dengan puak Celt di Gaul selain orang-orang Iran serta puak-puak Balt dan Slav di Eropah Timur. Sumber sejarah berkenaan puak ini hampir kesemuanya berasal daripada rekod Empayar Rom.[18]

Perkembangan puak-puak Jermanik sekitar tahun-tahun 750 SM – 1 M.

Di bawah pemerintahan Augustus, Jeneral Rom bernama Publius Quinctilius Varus mula menakluk Germania (nama yang digunakan oleh orang-orang Rom untuk merujuk kawasan yang bermula dari Sungai Rhine hingga ke Pergunungan Ural). Daripada pertembungan sebeginilah puak-puak Jermanik ini mempelajari taktik-taktik perang orang Rom sambil mengekalkan identiti puak mereka. Pada tahun 9 M, tiga legion Romawi yang dipimpin oleh Varus telah dikalahkan oleh pemimpin Cheruscan bernama Arminius di Perang Hutan Teutoburg. Jerman Moden, sehingga Sungai Rhine dan Sungai Danube, terus kekal di luar kawalan Empayar Rom. Menjelang tahun 100 M, puak-puak ini mula menetap sepanjang Sungai Rhine dan Danube, menghuni kebanyakan kawasan yang kini adalah negara Jerman. Abad ke-3 menyaksikan kemunculan beberapa puak Jermanik Barat seperti Alamanni, Frank, Chatti, Saxon, Frisia, Sicambri dan Thuringia. Sekitar 260 M, mereka memecahkan Limes dan kubu sempadan di Sungai Danube untuk mencereboh ke dalam kawasan di bawah kawalan Rom.[19]

Empayar Rom Suci (962–1806)

[sunting | sunting sumber]
Putera-Pemilih Empayar Rom Suci di dalam naskhah kulit dari tahun 1341.

Empayar zaman pertengahan ini terhasil melalui pembahagian Empayar Carolingia pada tahun 843, yang diasaskan oleh Charlemagne pada 25 Disember 800 dan wujud dalam bentuk yang berbeza-beza sehingga tahun 1806, dengan wilayahnya merangkumi Sungai Eider di utara hingga pantai Mediterranean di selatan. Seringkali dirujuk sebagai Empayar Rom Suci (atau Empayar Lama), ia secara rasminya digelar Empayar Rom Suci Bangsa Jerman (Sacrum Romanum Imperium Nationis Germanicæ) bermula pada tahun 1448 bagi menyesuaikan gelaran itu dengan wilayahnya yang telah dikurangkan.

Di bawah maharaja-maharaja Dinasti Ottonia (919-1024), wilayah-wilayah seperti Lorraine, Saxony, Franconia, Swabia, Thuringia dan Bavaria telah disatukan dan raja Jerman di wilayah-wilayah ini dimahkotakan sebagai Maharaja Rom Suci pada tahun 962. Di bawah pemerintahan maharaja-maharaja Dinasti Salia (1024-1125), Empayar Rom Suci menyerap utara Itali dan Burgundy, walaupun maharaja-maharaja ini kehilangan kuasa melalui Kontroversi Pertabalan. Di bawah pemerintahan maharaja-maharaja Dinasti Hohenstaufen (1138-1254) pula, putera-putera Jerman meningkatkan pengaruh mereka ke selatan dan timur hingga ke wilayah-wilayah yang dihuni oleh orang-orang Slav. Bandar-bandar di utara Jerman pula berkembang makmur sebagai ahli di dalam Liga Hansa.

Martin Luther, (1483–1546) pencetus gerakan Reformasi Protestan.

Titah-perintah Paus melalui Mohor Emas pada tahun 1356 menyediakan perlembagaan asas bagi empayar ini yang bertahan hingga ke pembubarannya. Ia menyenaraikan peraturan bagi pemilihan maharaja oleh tujuh orang putera-pemilih yang memerintah sebahagian besar wilayah yang berpengaruh di dalam empayar ini. Bermula pada abad ke-15, maharaja-maharaja telah dipilih secara eksklusif dari kalangan Dinasti Habsburg dari Austria.

Paderi Martin Luther telah menerbitkan 95 Dalil-dalil pada tahun 1517 yang mencabar amalan-amalan Gereja Katolik Rom, sekaligus mencetuskan pergerakan Reformasi Protestan. Sebuah gereja Lutheran yang terpisah menjadi agama rasmi di beberapa negeri Jerman selepas tahun 1530. Perbalahan keagamaan ini terus memuncak sehingga membawa kepada Peperangan 30 Tahun (1618-1648) yang memusnahkan banyak tempat di seluruh wilayah Jerman.[20] Jumlah penduduk di negeri-negeri ini jatuh mendadak sebanyak 30%.[21] Perdamaian Westfalen (1648) mengakhiri konflik keagamaan ini tetapi empayar secara nyata (de facto) dibahagikan kepada beberapa wilayah bebas. Dari tahun 1740 dan seterusnya, sifat keduaan di antara Kerajaan Austro-Habsburg dan Prusia menguasai sejarah Jerman. Pada tahun 1806, Imperium dicerobohi dan dibubarkan hasil Peperangan Napoleon.[22]

Pemulihan dan Revolusi (1814–1871)

[sunting | sunting sumber]
Parlimen Frankfurt pada tahun 1848.

Berikutan kejatuhan Napoleon Bonaparte, Kongres Vienna bersidang pada tahun 1814 dan menubuhkan Gabungan Jerman (Deutscher Bund), iaitu sebuah liga yang agak longgar yang menghimpunkan 39 negeri-negeri yang berdaulat. Perselisihan faham berkenaan politik pemulihan membawa kepada kebangkitan pergerakan liberal, yang menuntut perpaduan dan kebebasan. Hal ini dibalas dengan langkah-langkah baru yang menindas yang diketengahkan oleh seorang negarawan dari Austria yang bernama Klemens Wenzel von Metternich. Zollverein, iaitu penyatuan tarif jual beli, seterusnya berhasil meneguhkan perpaduan dari segi ekonomi di negeri-negeri Jerman. Ketika ini jugalah, ramai orang-orang Jerman dirangsang oleh idea-diea Revolusi Perancis dan semangat kebangsaan pula menjadi daya penggerak yang penting, teutamanya di kalangan intelektual. Buat pertama kalinya warna hitam, merah dan emas dipilih bagi mewakili pergerakan ini, yang kemudiannya menjadi warna-warna kebangsaan Jerman.[23]

Dipengaruhi beberapa pergerakan revolusi di Eropah yang berjaya menubuhkan sebuah Republik di Perancis, para intelektual dan orang-orang awam memulakan Revolusi-revolusi 1848 di negeri-negeri Jerman. Raja-raja pada mulanya cuba memenuhi tuntutan pergerakan ini. Raja Frederick William IV dari Prusia ditawarkan gelaran maharaja tetapi dengan kuasa yang dikurangkan. Baginda menolak mahkota tersebut dan perlembagaan yang dicadangkan, membawa kepada halangan sebentar bagi gerakan revolusi ini. Perbalahan di antara Raja William I dari Prusia dan parlimen yang semakin liberal tercetus kerana pembaharuan cuba dilakukan ke atas pihak tentera pada tahun 1862 dan tindakan raja melantik Otto von Bismarck sebagai Perdana Menteri Prusia yang baru. Beliau berjaya melancarkan perang ke atas Denmark pada tahun 1864. Kemenangan ini, iaitu dua tahun selepas perang bermula, membolehkan beliau menubuhkan Persekutuan Jerman Utara (Norddeutscher Bund) sekaligus mengenepikan Austria, yang dulunya merupakan negeri Jerman yang berpengaruh besar, di dalam hal-ehwal saki-baki negara Jerman yang tinggal.

Empayar Jerman (1871–1918)

[sunting | sunting sumber]
Penubuhan Jerman moden di Versailles, Perancis pada tahun 1871. Bismarck di tengah-tengah berpakaian pakaian seragam berwarna putih.

Negara yang kini dikenali sebagai Jerman telah disatukan sebagai sebuah negara bangsa yang moden pada tahun 1871 apabila Empayar Jerman dibentuk dengan Prusia sebagai ahlinya yang terbesar. Selepas kekalahan Perancis di Perang Perancis-Prusia, Empayar Jerman dimasyhurkan di Istana Versailles pada 18 Januari 1871. Dinasti Hohenzollern dari Prusia memerintah empayar baru ini dengan Berlin sebagai ibu negaranya. Empayar ini menyatukan bahagian-bahagian Jerman yang bertaburan di Eropah Tengah kecuali Austria (Kleindeutschland atau Jerman kecil). Bermula pada tahun 1884, Jerman mula menubuhkan beberapa koloni di luar Eropah.

Sewaktu Era Pengasas (Gründerzeit) yang menyusur selepas penyatuan Jerman, Maharaja William I melancarkan dasar luar negara yang mengukuhkan kedudukan Jerman sebagai sebuah kuasa besar dengan memeterai pakatan sekutu, yang memulaukan Perancis melalui kaedah diplomatik dan menghindari perang. Namun di bawah pemerintahan William II, Jerman, seperti juga kuasa-kuasa besar Eropah yang lainnya, mengambil langkah-langkah imperialistik yang membawa kepada pergeseran dengan negara-negara jirannya. Kebanyakan negara sekutu mula meminggirkannya dengan tidak membaharui pakatan lama dan pakatan-pakatan baru tidak melibatkannya. Lebih khusus lagi ialah kejayaan Perancis menubuhkan hubungan baru melalui Entente Cordiale dengan United Kingdom selain dengan Empayar Rusia. Melainkan hubungannya dengan Kerajaan Austro-Hungary, Jerman menjadi semakin terpinggir.

Empayar Jerman (1871–1918), dengan Kerajaan Prusia (biru) sebagai ahli terbesar.

Penjajahan Jerman di luar Eropah lebih tertumpu kepada Afrika sebagaimana kuasa-kuasa besar Eropah yang lainnya. Persidangan Berlin pada tahun 1884 membahagi-bahagikan Afrika di kalangan kuasa-kuasa Eropah. Jerman memiliki beberapa bahagian di Afrika yang merangkumi Afrika Timur Jerman, Afrika Barat Daya, Togo dan Cameroon. Perebutan Afrika ini menyebabkan tekanan di antara kuasa-kuasa besar yang mungkin menyumbang kepada keadaan-keadaan yang menyebabkan Perang Dunia I.

Pembunuhan Putera Mahkota Austria pada 28 Jun 1914 mencetuskan Perang Dunia I. Jerman, sebagai sebahagian daripada Kuasa Tengah, mengalami kekalahan di tangan Kuasa-kuasa Sekutu di dalam salah satu perbalahan terburuk sepanjang zaman. Revolusi Jerman tercetus pada bulan November 1918 yang memaksa Maharaja William II dan semua putera-putera pemerintah di Jerman turun takhta. Gencatan senjata yang mengakhiri peperangan dipersetujui pada 11 November dan Jerman dipaksa menerima syarat-syarat Persetiaan Versailles pada bulan Jun 1919. Rundingannya, yang berlawanan dengan amalan tradisi diplomasi pasca-perang, langsung tidak melibatkan Kuasa Tengah yang kalah. Perjanjian ini dianggap di Jerman sebagai sambungan memalukan perang sebelumnya, yang dilakukan dengan kaedah-kaedah lain dan kekerasannya sering dikaitkan dengan kebangkitan fahaman Nazi di negara ini.[24]

Republik Weimar (1919–1933)

[sunting | sunting sumber]

Selepas kejayaan Revolusi Jerman pada bulan November 1918, sebuah republik diisytiharkan. Perlembagaan Weimar berkuatkuasa setelah ditandatangani oleh Presiden Friedrich Ebert pada 11 Ogos 1919. Parti Komunis Jerman ditubuhkan oleh Rosa Luxemburg dan Karl Liebknecht pada tahun 1918 manakala Parti Pekerja Jerman, kemudiannya dikenali sebagai Parti Pekerja Sosialistik Kebangsaan Jerman atau Parti Nazi, pula ditubukan pada bulan Januari 1919.

Menderita akibat Zaman Meleset, syarat-syarat Persetiaan Versailles yang agak keras dan kerajaan tidak stabil yang silih berganti menyebabkan khalayak umum di Jerman semakin tidak menghiraukan sistem politik demokrasi berparlimen. Hal ini diburukkan lagi dengan tersebarnya mitos politik sayap kanan Dolchstoßlegende, yang menyatakan bahawa Jerman kalah pada Perang Dunia I kerana Revolusi Jerman, dan bukanlah kerana kalah di medan perang. Di sebelah sayap kiri pula, pergerakan komunis seperti Liga Spartacus, mahu memansuhkan sistem yang mereka anggap sebagai "pemerintahan kapitalis" dengan sistem komunisme majlis yang dipanggil "Räterepublik". Kumpulan separa tentera ditubuhkan oleh beberapa parti dan pembunuhan bermotifkan politik berleluasa. Kumpulan separa tentera ini menakut-nakutkan pengundi dan mencambahkan keganasan dan kemarahan di kalangan khalayak umum, yang menempuh kemiskinan dan kadar pengangguran yang tinggi. Selepas beberapa siri kabinet kecundang, Presiden Paul von Hindenburg, yang tiada pilihan lain selain yang diajukan oleh penasihat-penasihatnya yang rata-rata dari parti sayap kanan, melantik Adolf Hitler sebagai Canselor Jerman pada 30 Januari 1933.

Empayar Ketiga (1933–1945)

[sunting | sunting sumber]

Pada 27 Februari 1933, bangunan Reichstag mengalami kebakaran. Melalui dikri kecemasan, beberapa hak asasi demokrasi kemudiannya dibatalkan dengan serta-merta. Sebuah Akta Pengkuasaan memberi kerajaan pimpinan Hitler kuasa penuh perundangan. Hanya Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) sahaja yang membangkang akta ini manakala Parti Komunis tidak boleh hadir untuk membangkang kerana kebanyakan wakil-wakilnya telah dibunuh atau dipenjarakan.[25][26] Sebuah negara totalitarian berpusat ditubuhkan melalui beberapa siri tindakan dan dikri yang menjadikan Jerman sebuah negara satu parti. Perusahaan dikawal ketat dengan pelbagai kuota dan keperluan bagi menganjak ekonomi ke arah pengeluaran berasaskan keperluan perang. Pada tahun 1936, tentera Jerman memasuki kawasan cegah senjata Rheinland dan dasar beralah yang dibawakan oleh Perdana Menteri United Kingdom Neville Chamberlain ternyata tidak cukup untuk mengekang kemaraan tentera Jerman. Kejayaan itu memberanikan Hitler melancarkan dasar peluasan kuasa pada tahun 1938 bagi menubuhkan Jerman Raya. Bagi mengelakkan peperangan dari dua arah, Hitler memeterai Pakatan Molotov-Ribbentrop dengan Kesatuan Soviet.

Pada tahun 1939, akibat percambahan tekanan daripada semangat kebangsaan, ketenteraan dan isu-isu kewilayahan membawa kepada serangan kilat oleh Jerman ke atas Poland, yang diikuti dua hari kemudiannya dengan pengisytiharan perang oleh Britain dan Perancis, sekaligus menandakan bermulanya Perang Dunia II. Jerman kemudiannya mencapai kawalan secara langsung mahupun tidak langsung ke atas sebahagian besar benua Eropah.

Runtuhan perang di Berlin selepas Perang Dunia II, Postdamer Platz 1945.

Pada 22 Jun 1941, Hitler melanggar pakatan dengan Kesatuan Soviet dengan pembukaan barisan timur dan penaklukan ke atas Kesatuan Soviet. Sejurus selepas Empayar Jepun melancarkan serangan ke atas markas Amerika Syarikat di Pearl Harbour, Jerman mengisytiharkan perang ke atas Amerika Syarikat. Walaupun tentera Jerman pada mulanya mara dengan pantas ke dalam wilayah Kesatuan Soviet, Perang Stalingrad menandakan titik peralihan penting peperangan ini. Berikutan dengan itu, tentera Jerman terpaksa menarik diri ke barisan timur. Perang Normandy pula menjadi titik peralihan di barisan barat, apabila tentera sekutu mendarat di pantai Normandy dan mara dengan pantas ke dalam wilayah Jerman. Pada 8 Mei 1945, angkatan tentera Jerman menyerah kalah apabila Tentera Merah menakluki Berlin.

Rejim Empayar Ketiga ini, telah melaksanakan dasar-dasar yang secara langsung menindas sebahagian daripada ahli masyarakat termasuklah orang-orang Yahudi, Komunis, Roma, golongan homoseksual, freemason, pembangkang, paderi, pendakwah dan orang kurang upaya. Penindasan di zaman Nazi ini, yang kemudiannya dikenali sebagai Holokus, telah mengakibatkan pembunuhan sehingga lebih 11 juta orang, termasuk 6 juta orang Yahudi dan 3 juta rakyat Poland. Perang Dunia II dan pembunuhan beramai-ramai Nazi ini menyebabkan korban nyawa sebanyak 35 juta di seluruh Eropah.

Pembahagian dan Penyatuan semula (Sejak 1945)

[sunting | sunting sumber]
Selepas tahun 1949, dua buah negara Jerman termasuk kota Berlin yang dibahagi dua terbentuk menurut zon pendudukan Pihak Berikat. Jerman Barat dibentuk daripada zon-zon yang ditadbir oleh Amerika Syarikat, Britian dan Perancis. Jerman Timur dibentuk daripada kawasan yang ditadbir oleh Kesatuan Soviet.

Peperangan telah menyebabkan jumlah kematian sekitar 10 juta orang tentera dan orang awam. Jerman kemudiannya menanggung kehilangan wilayah yang besar. Sebanyak 15 juta orang berketurunan Jerman yang tinggal kebanyakannya di bekas wilayahnya di timur (dan negara-negara lain) pula diusir keluar. Jerman turut mengalami kemusnahan teruk di banyak bandar-bandar utamanya. Wilayah kebangsaan yang tinggal dan kota Berlin dibahagi oleh Pihak Berikat kepada empat zon pendudukan tentera.

Sektor-sektor yang dikawal oleh Perancis, United Kingdom dan Amerika Syarikat kemudiannya bergabung pada 23 Mei 1949 bagi membentuk Republik Persekutuan Jerman, manakala pada 7 Oktober 1949, kawasan ditadbir Kesatuan Soviet pula membentuk Republik Demokratik Jerman. Kedua-dua negara ini dikenali secari tidak rasmi sebagai "Jerman Barat" dan "Jerman Timur", manakala dua bahagian kota Berlin dikenali sebagai "Berlin Barat" dan "Berlin Timur". Ibu negara kedua-duanya pula ialah masing-masing Bonn dan Berlin Timur. Namun begitu, Bonn hanya diisytihar sebagai ibu negara sementara.[27] bagi menekankan pendirian kerajaannya bahawa kewujudan dua negara itu hanyalah sementara dan akan disatukan semula pada kemudian hari.

Jerman Barat seterusnya menubuhkan republik persekutuan berparlimen dengan "ekonomi pasaran sosial" dan bersekutu dengan Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. Negara ini kemudiannya menikmati pertumbuhan ekonomi yang panjang sekitar dekad 1950-an (Wirtschaftswunder) dan menyertai NATO pada tahun 1955 selain turut membentuk Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) pada tahun 1958.

Jerman Timur pula menjadi anggota Blok Timur di bawah kawalan politik dan ketenteraan KRSS melalui tenteranya dan Pakatan Warsaw. Sedang ia mengaku sebagai sebuah demokrasi, kuasa politik sebenarnya dipegang oleh ahli-ahli tertinggi ("Politbüro") Parti Perpaduan Sosialis Jerman (SED) yang berfahaman komunis. Kuasa mereka dijamin melalui Stasi, polis cawangan khas yang besar saiznya dan beberapa pertubuhan di bawah SED yang mengawal semua aspek kehidupan masyarakat. Sebagai balasan, keperluan asas penduduk dipenuhi oleh pemerintah dengan harga yang rendah. Negara ini mengamalkan ekonomi terancang ala-Soviet dan kemudiannya menyertai Comecon. Pada masa yang sama, pemerintah memainkan propaganda dengan menonjolkan faedah program sosial di bawah pemerintahannya selain menuduh Jerman Barat berulang kali cuba menaklukinya. Di sebalik propaganda ini, kebanyakan warganya masih "memandang ke barat" bagi kebebasan berpolitik dan kemakmuran ekonomi.[28] Tembok Berlin yang dibina pada tahun 1961 bagi menghalang warga Jerman Timur daripada melarikan diri ke Jerman Barat kemudiannya menjadi simbol Perang Dingin.

Ketegangan hubungan di antara Jerman Timur dan Barat menjadi seakan-akan reda pada awal dekad 1970-an melalui Ostpolitik yang dibawakan oleh Canselor Willy Brandt. Dasarnya itu termasuklah penerimaan de facto kehilangan wilayah-wilayah Jerman sewaktu Perang Dunia II.

Tembok Berlin di hadapan Gerbang Brandenburg sejurus selepas pembukaanya pada tahun 1989.

Setelah menempuhi penghijrahan besar-besaran warga Jerman Timur ke Jerman Barat melalui Hungary dan tunjuk perasan besar-besaran ketika musim panas tahun 1989, penguasa-penguasa Jerman Timur dengan tanpa disangka-sangka melonggarkan kawalan sempadan pada bulan November yang membenarkan warganya masuk ke Jerman Barat. Dasar yang pada asalnya dilakukan sebagai "tolok tekanan" bagi mengekalkan Jerman Timur sebagai sebuah negara, sebenarnya mempercepatkan proses pembaharuan Wende, yang akhirnya ditamatkan dengan Perjanjian Dua Tambah Empat pada 12 September 1990 dan Penyatuan Semula Jerman pada 3 Oktober 1990. Di bawah perjanjian ini, keempat-empat kuasa pendudukan melepaskan hak mereka di bawah "Surat Cara Penyerahan" dan Jerman memperoleh semula kedaulatannya. Melalui Akta Bonn-Berlin yang diluluskan parlimen pada 10 Mac 1994, Berlin dipilih sebagai ibu negara Jerman yang bersatu manakala Bonn diikitiraf sebagai bandar raya persekutuan (Bundesstadt) dengan mengekalkan beberapa kementerian.[29] Perpindahan kerajaan ke Berlin diselesaikan pada tahun 1999.

Sejak penyatuan semula, Jerman telah mengambil peranan penting di dalam Kesatuan Eropah dan NATO. Jerman menghantar tentera pengaman bagi menjamin kestabilan di Balkan dan tentera persekutuannya ke Afghanistan sebagai sebahagian daripada usaha NATO menjamin keselamatan di negara ini selepas penggulingan Taliban.[30] Kerahan tentera ini adalah sangat kontroversi, kerana Jerman, yang diikat oleh undang-undang selepas perang, hanya boleh mengerah tenteranya bagi tujuan pertahanan negara sahaja, Kerahan tentera di wilayah asing dianggap sebagai tidak termasuk di dalam peruntukan pertahanan tersebut. Namun, undian di parlimen terhadap isu berkenaan secara langsung membenarkan penglibatannya dalam usaha-usaha pengaman.

Peta topografi Jerman yang menunjukkan variasi ketinggian dan bandar utama.
Peta topografi Jerman.

Jerman terletak di Eropah Tengah, dengan pesisir di Laut Utara dan Laut Baltik di utara serta Pergunungan Alp di selatan.[31] Menurut Statistisches Bundesamt (Destatis), keluasan negara ini ialah 357,683 km² pada 31 Disember 2024.[32] Jerman bersempadan dengan sembilan negara, iaitu Denmark di utara; Poland dan Republik Czech di timur; Austria dan Switzerland di selatan; Perancis dan Luxembourg di barat daya; serta Belgium dan Belanda di barat laut.[33]

Bentuk muka bumi dan perairan

[sunting | sunting sumber]

Rupa bumi Jerman berubah daripada dataran rendah dan kawasan pesisir di utara, melalui rangkaian tanah tinggi di bahagian tengah dan barat daya, kepada kaki Pergunungan Alp dan kawasan pergunungan tinggi di selatan. Pembahagian alam semula jadi yang digunakan oleh Bundesamt für Naturschutz (BfN) mencerminkan kepelbagaian ini dan turut membezakan tiga rantau biogeografi utama, iaitu Atlantik, benua dan Alp.[34] Titik tertinggi negara ialah Zugspitze di Bavaria, setinggi 2,962 m, manakala titik daratan terendah terletak berhampiran Neuendorf-Sachsenbande di Schleswig-Holstein, pada 3.54 m di bawah aras rujukan ketinggian Normalhöhennull (NHN).[31]

Tasik Hintersee dengan gunung berhutan di latar belakang.
Tasik Hintersee berhampiran Ramsau bei Berchtesgaden, Bavaria.

Jerman mempunyai rangkaian sungai dan alur air yang panjangnya melebihi 500,000 km. Rangkaian ini dibahagikan kepada enam sistem sungai utama, iaitu Danube, Elbe, Ems, Oder, Rhine dan Weser, selain sungai-sungai pesisir yang mengalir ke Laut Utara dan Laut Baltik. Sistem-sistem tersebut turut dihubungkan oleh sejumlah terusan.[35] Tasik semula jadi pula tertumpu terutamanya di Dataran Jerman Utara, kawasan kaki Pergunungan Alp dan Pergunungan Alp. Jerman mempunyai lebih daripada 290,000 jasad air bertakung, tetapi hanya 1,120 daripadanya mempunyai keluasan melebihi 50 hektar; selain tasik semula jadi, terdapat juga banyak takungan dan tasik buatan.[36]

Jerman mempunyai iklim sederhana dengan perbezaan serantau yang ketara. Pengaruh kelautan lebih kuat di kawasan pesisir dan bahagian barat, lalu mengecilkan julat suhu antara musim panas dengan musim sejuk. Ke arah timur dan kawasan pedalaman, pengaruh kebenuaan semakin jelas dan turun naik suhu bermusim umumnya lebih besar. Bentuk muka bumi turut mempengaruhi taburan hujan: kawasan tanah tinggi dan Pergunungan Alp lazimnya lebih sejuk dan menerima lebih banyak kerpasan akibat kesan orografi, manakala sesetengah dataran rendah dan kawasan lindungan hujan, termasuk di sebelah lindung Harz, lebih kering.[37]

Pemanasan jangka panjang telah mengubah latar iklim negara ini dengan ketara. Berdasarkan garis arah aliran LOESS bagi siri pengukuran 1881–2025, Deutscher Wetterdienst (DWD) menganggarkan peningkatan suhu purata Jerman sebanyak kira-kira 2.5 °C sepanjang siri tersebut.[38] Kadar pemanasan berbeza mengikut musim dan rantau, tetapi arah aliran tahunan adalah jelas di seluruh negara.[37]

Alam sekitar

[sunting | sunting sumber]

Corak guna tanah merupakan unsur penting dalam keadaan alam sekitar Jerman. Pada 31 Disember 2024, tanah pertanian meliputi 50.2% daripada keluasan negara, hutan 29.9% dan perairan 2.3%.[32] Kepelbagaian landskap, daripada kawasan pesisir dan dataran rendah hingga hutan tanah tinggi dan habitat Alp, menyokong pelbagai ekosistem, tetapi pada masa yang sama dipengaruhi secara meluas oleh penggunaan tanah manusia. Antara tekanan utama terhadap kepelbagaian biologi dan kualiti landskap yang dikenal pasti oleh Umweltbundesamt ialah pertanian intensif, pemecahan landskap dan peluasan kawasan bandar, penutupan tanah oleh permukaan kedap serta kemasukan bahan ke alam sekitar, termasuk nutrien.[39]

Jerman mempunyai rangkaian kawasan perlindungan pada peringkat negeri, persekutuan dan Kesatuan Eropah. BfN menyenaraikan 16 taman negara dengan jumlah keluasan kira-kira 1.05 juta hektar, sebahagian besarnya terdiri daripada kawasan marin di taman negara Laut Wadden.[40] Selain itu, rangkaian Natura 2000, yang terdiri daripada kawasan perlindungan di bawah Arahan Habitat dan Arahan Burung, merangkumi 5,200 kawasan menurut statistik BfN berstatus 2019. Kawasan tersebut meliputi 15.5% daripada wilayah daratan Jerman dan kira-kira 45% daripada kawasan marinnya; kawasan di bawah kedua-dua arahan boleh bertindih.[41]

Kualiti perairan telah bertambah baik dalam beberapa aspek sejak penyatuan semula Jerman, tetapi tekanan nutrien masih ketara. Menurut Umweltbundesamt, kepekatan nitrogen dan fosforus di sungai dan anak sungai telah berkurang dengan nyata sejak 1995, terutamanya hasil peluasan dan pemodenan loji rawatan kumbahan, namun parasnya masih terlalu tinggi di banyak badan air.[42] Pencemaran nitrat dalam air bawah tanah juga kekal sebagai masalah alam sekitar; sejak 2008, had 50 mg/l telah dilebihi setiap tahun di kira-kira satu daripada enam stesen dalam rangkaian pemantauan yang digunakan bagi pelaporan Eropah, dengan kemasukan nutrien daripada kegiatan pertanian dikenal pasti sebagai punca utama kepekatan nitrat yang tinggi.[43]

Bangunan Reichstag di Berlin dengan bendera Jerman di hadapannya.
Bangunan Reichstag di Berlin, tempat persidangan pleno Bundestag.

Jerman ialah sebuah republik persekutuan yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan prinsip negara hukum. Hukum Asas Republik Persekutuan Jerman (Jerman: Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland) menetapkan bahawa Republik Persekutuan Jerman ialah sebuah negara persekutuan yang demokratik dan sosial, bahawa segala kuasa negara berasal daripada rakyat, serta bahawa badan perundangan, eksekutif dan kehakiman tertakluk pada susunan perlembagaan dan undang-undang.[44] Kuasa politik pada peringkat persekutuan dibahagikan terutamanya antara Bundestag, Bundesrat, Presiden Persekutuan, Kerajaan Persekutuan dan Mahkamah Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan dan sistem persekutuan

[sunting | sunting sumber]

Hukum Asas diluluskan oleh Majlis Parlimen pada 8 Mei 1949 dan diisytiharkan di Bonn pada 23 Mei 1949. Penggunaan istilah Grundgesetz dan bukannya Verfassung ("perlembagaan") mencerminkan sifat asal dokumen itu sebagai aturan perlembagaan sementara bagi Jerman Barat, ketika pembahagian Jerman masih dianggap bersifat sementara. Selepas penyatuan semula pada 3 Oktober 1990, Hukum Asas terus berkuat kuasa sebagai perlembagaan bagi seluruh Jerman dan mukadimahnya kini menyatakan bahawa rakyat Jerman telah menyempurnakan kesatuan dan kebebasan negara mereka.[45][44]

Pindaan Hukum Asas memerlukan sokongan dua pertiga daripada seluruh anggota Bundestag dan dua pertiga daripada undi Bundesrat. Klausa kekal dalam Perkara 79(3) melarang pindaan yang menjejaskan pembahagian Persekutuan kepada negeri, penyertaan asas negeri dalam proses perundangan atau prinsip yang termaktub dalam Perkara 1 dan 20, termasuk perlindungan maruah manusia serta asas negara demokratik, sosial dan persekutuan.[44]

Sistem persekutuan Jerman membahagikan kuasa antara kerajaan persekutuan dengan 16 negeri. Pada asasnya, pelaksanaan kuasa negara dan tugas awam berada di bawah bidang kuasa negeri kecuali Hukum Asas menetapkan sebaliknya; negeri juga mempunyai kuasa perundangan dalam perkara yang tidak diserahkan kepada Persekutuan. Susunan perlembagaan setiap negeri pula mesti mematuhi prinsip negara republik, demokratik dan sosial berasaskan kedaulatan undang-undang.[44] Negeri-negeri mengambil bahagian secara langsung dalam penggubalan undang-undang persekutuan, pentadbiran persekutuan dan urusan Kesatuan Eropah melalui Bundesrat.

Ketua negara dan kerajaan

[sunting | sunting sumber]

Ketua negara ialah Presiden Persekutuan (Jerman: Bundespräsident). Presiden dipilih oleh Perhimpunan Persekutuan (Bundesversammlung), sebuah badan yang terdiri daripada semua anggota Bundestag serta jumlah perwakilan yang sama yang dipilih secara berkadar oleh badan perundangan negeri. Tempoh jawatan presiden ialah lima tahun dan seseorang hanya boleh dipilih semula untuk satu penggal berturut-turut.[46] Frank-Walter Steinmeier menjadi Presiden Persekutuan sejak 2017 dan dipilih semula oleh Perhimpunan Persekutuan pada 13 Februari 2022 untuk penggal kedua.[47]

Dalam sistem berparlimen Jerman, Presiden Persekutuan terutamanya menjalankan fungsi ketua negara dan mewakili kesatuan negara, tetapi turut mempunyai beberapa kuasa perlembagaan yang penting. Antaranya termasuk mencalonkan calon Canselor Persekutuan untuk dipilih oleh Bundestag, melantik canselor dan menteri persekutuan, menandatangani undang-undang persekutuan sebelum diisytiharkan serta mewakili Jerman dalam hubungan antarabangsa menurut undang-undang antarabangsa. Presiden juga mempunyai kuasa tertentu berhubung pembubaran Bundestag dalam keadaan khusus yang ditetapkan oleh Hukum Asas.[48]

Kerajaan Persekutuan terdiri daripada Canselor Persekutuan dan para menteri persekutuan. Canselor dipilih oleh Bundestag atas cadangan Presiden Persekutuan dan kemudian dilantik oleh presiden. Hukum Asas memberikan canselor kuasa untuk menentukan garis panduan umum dasar kerajaan, manakala setiap menteri mengurus bidang kementerian masing-masing secara bebas dalam lingkungan garis panduan tersebut.[44] Friedrich Merz daripada Kesatuan Demokratik Kristian Jerman (CDU) menjadi Canselor Persekutuan pada 6 Mei 2025 selepas dipilih oleh Bundestag dan dilantik oleh Presiden Steinmeier.[49]

Kestabilan kerajaan diperkukuh melalui mekanisme undi tidak percaya konstruktif. Bundestag hanya boleh menjatuhkan seorang canselor jika majoriti anggotanya pada masa yang sama memilih seorang pengganti dan meminta Presiden Persekutuan melantik calon tersebut. Mekanisme ini bertujuan memastikan bahawa penamatan mandat seorang canselor disertai pembentukan majoriti kerajaan baharu.[44]

Badan perundangan dan pilihan raya

[sunting | sunting sumber]

Kuasa perundangan persekutuan dilaksanakan terutamanya oleh Bundestag dengan penyertaan Bundesrat. Bundestag dipilih untuk tempoh empat tahun melalui pilihan raya umum, langsung, bebas, sama rata dan rahsia. Ia menggubal undang-undang persekutuan, memilih canselor, meluluskan belanjawan persekutuan dan menjalankan pengawasan parlimen terhadap kerajaan.[44] Presiden Bundestag mengetuai persidangan dan pentadbiran parlimen; Julia Klöckner daripada CDU/CSU dipilih memegang jawatan itu pada 25 Mac 2025.[50]

Sistem pilihan raya Bundestag menggunakan bentuk perwakilan berkadar yang digabungkan dengan pemilihan calon kawasan, yang secara rasmi diterangkan sebagai personalisierte Verhältniswahl. Setiap pengundi mempunyai dua undi: undi pertama diberikan kepada calon di kawasan pilihan raya, manakala undi kedua diberikan kepada senarai parti pada peringkat negeri dan pada asasnya menentukan jumlah kerusi yang diperoleh setiap parti. Sejak pilihan raya 2025, kemenangan calon di sesebuah kawasan juga perlu disokong oleh peruntukan kerusi yang mencukupi berdasarkan undi kedua parti berkenaan. Saiz Bundestag ditetapkan pada 630 kerusi bagi pilihan raya 2025.[51][52]

Bundesrat pula bukan badan yang dipilih secara langsung oleh rakyat. Keanggotaannya terdiri daripada anggota kerajaan 16 negeri yang dilantik dan boleh ditarik balik oleh kerajaan negeri masing-masing. Setiap negeri mempunyai antara tiga hingga enam undi berdasarkan jumlah penduduknya, dan semua undi sesebuah negeri mesti diberikan secara seragam. Melalui Bundesrat, negeri mengambil bahagian dalam penggubalan undang-undang dan pentadbiran Persekutuan serta urusan Kesatuan Eropah.[44] Semua undang-undang yang diluluskan oleh Bundestag dikemukakan kepada Bundesrat. Bagi undang-undang tertentu, persetujuan Bundesrat diperlukan untuk berkuat kuasa; bagi undang-undang lain, Bundesrat boleh mengemukakan bantahan yang dalam keadaan tertentu boleh diatasi oleh Bundestag.[44]

Kehakiman perlembagaan

[sunting | sunting sumber]

Mahkamah Perlembagaan Persekutuan (Jerman: Bundesverfassungsgericht), yang berpusat di Karlsruhe, bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap Hukum Asas. Mahkamah ini merupakan sebuah mahkamah dan pada masa yang sama salah satu organ perlembagaan Persekutuan; ia tidak tertakluk pada penyeliaan pentadbiran mana-mana kementerian. Antara bidang kuasanya termasuk menyelesaikan pertikaian antara organ persekutuan, menyemak keserasian undang-undang dengan Hukum Asas dan memutuskan aduan perlembagaan berhubung pelanggaran hak asasi.[53]

Mahkamah terdiri daripada dua senat yang masing-masing mempunyai lapan hakim. Separuh daripada 16 hakim dipilih oleh Bundestag dan separuh lagi oleh Bundesrat, dengan majoriti dua pertiga diperlukan dalam kedua-dua proses pemilihan. Keputusannya tidak boleh dirayu dan badan negara lain terikat oleh keputusan mahkamah dalam lingkungan kuasa yang ditetapkan oleh undang-undang.[53]

Parti politik

[sunting | sunting sumber]

Hukum Asas memberikan parti politik peranan dalam pembentukan kehendak politik rakyat dan menetapkan bahawa susunan dalaman parti mesti mematuhi prinsip demokrasi.[44] Selepas pilihan raya persekutuan 2025, parti yang memperoleh kerusi di Bundestag ialah CDU dengan 164 kerusi, Alternatif untuk Jerman (AfD) dengan 152, Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD) dengan 120, Pakatan 90/Hijau dengan 85, Parti Kiri dengan 64, Kesatuan Sosial Kristian di Bavaria (CSU) dengan 44 dan Persatuan Pengundi Schleswig Selatan (SSW) dengan satu kerusi. CDU dan CSU membentuk satu kumpulan parlimen bersama di Bundestag.[52]

Selepas pilihan raya tersebut, CDU, CSU dan SPD membentuk kerajaan gabungan di bawah Canselor Friedrich Merz. Perjanjian gabungan mereka, Verantwortung für Deutschland, ditandatangani pada 5 Mei 2025, dan gabungan CDU/CSU–SPD kekal sebagai kerajaan persekutuan pada 2026.[54][55]

Peta Jerman yang menunjukkan sempadan 16 negeri; Berlin, Bremen dan Hamburg ditandakan merah sebagai negeri bandar.
16 negeri Jerman. Berlin (3), Bremen (5) dan Hamburg (6), yang merupakan negeri bandar, ditandakan merah. Nombor pada peta sepadan dengan jadual di bawah.

Jerman ialah sebuah negara persekutuan yang terdiri daripada 16 negeri, yang disebut Länder (bentuk tunggal: Land) dalam bahasa Jerman. Perkara 20(1) Undang-Undang Asas Republik Persekutuan Jerman (Grundgesetz) menetapkan Jerman sebagai sebuah negara persekutuan, manakala Perkara 30 menetapkan bahawa pelaksanaan kuasa negara dan pelaksanaan tugas kerajaan pada asasnya merupakan tanggungjawab negeri kecuali apabila Undang-Undang Asas memperuntukkan sebaliknya. Perkara 28 pula menghendaki susunan perlembagaan setiap negeri mematuhi prinsip negara republik, demokrasi dan sosial yang berasaskan kedaulatan undang-undang.[56]

Negeri-negeri mempunyai perlembagaan, badan perundangan, kerajaan, pentadbiran dan institusi kehakiman sendiri. Antara bidang yang terutamanya berada di bawah tanggungjawab negeri ialah keselamatan dalam negeri, pendidikan, media dan pentadbiran.[57] Melalui Bundesrat, kerajaan negeri mengambil bahagian dalam perundangan dan pentadbiran persekutuan serta hal ehwal Kesatuan Eropah, sebagaimana diperuntukkan oleh Perkara 50 Undang-Undang Asas.[56]

Susunan 16 negeri pada masa kini terbentuk secara beransur-ansur selepas Perang Dunia Kedua. Baden-Württemberg dibentuk pada 1952 melalui penyatuan Baden, Württemberg-Baden dan Württemberg-Hohenzollern, manakala Saarland menyertai wilayah persekutuan pada 1 Januari 1957.[58] Semasa penyatuan semula Jerman pada 3 Oktober 1990, Brandenburg, Mecklenburg-Vorpommern, Sachsen, Sachsen-Anhalt dan Thüringen menjadi negeri Republik Persekutuan Jerman, sementara Berlin disatukan sebagai sebuah negeri.[59]

Tiga daripada negeri tersebut, iaitu Berlin, Bremen dan Hamburg, dikategorikan sebagai negeri bandar (Stadtstaaten).[60] Bremen mempunyai susunan yang tersendiri kerana negeri Freie Hansestadt Bremen terdiri daripada dua perbandaran, iaitu bandar Bremen dan Bremerhaven.[61] Pembahagian pentadbiran di bawah peringkat negeri tidak seragam dan ditentukan oleh undang-undang serta struktur pentadbiran setiap negeri.

Negeri Jerman mengikut nombor pada peta
Nombor peta Bendera Negeri Ibu negeri Status Keluasan (km²), 31 Disember 2024[62] Penduduk, 31 Disember 2025[63]
1 Bendera Baden-Württemberg Baden-Württemberg Stuttgart Negeri 35,748 11,238,761
2 Bendera Bavaria Bavaria Munich Negeri 70,542 13,245,503
3 Bendera Berlin Berlin Berlin Negeri bandar 891 3,700,577
4 Bendera Brandenburg Brandenburg Potsdam Negeri 29,654 2,551,889
5 Bendera Bremen Bremen Bremen Negeri bandar 420 706,915
6 Bendera Hamburg Hamburg Hamburg Negeri bandar 755 1,869,473
7 Bendera Hessen Hessen Wiesbaden Negeri 21,116 6,278,594
8 Bendera Mecklenburg-Vorpommern Mecklenburg-Vorpommern Schwerin Negeri 23,294 1,573,685
9 Bendera Niedersachsen Niedersachsen Hanover Negeri 47,710 8,000,826
10 Bendera Nordrhein-Westfalen Nordrhein-Westfalen Düsseldorf Negeri 34,112 17,986,214
11 Bendera Rheinland-Pfalz Rheinland-Pfalz Mainz Negeri 19,858 4,123,022
12 Bendera Saarland Saarland Saarbrücken Negeri 2,572 1,007,342
13 Bendera Sachsen Sachsen Dresden Negeri 18,450 4,026,599
14 Bendera Sachsen-Anhalt Sachsen-Anhalt Magdeburg Negeri 20,555 2,120,252
15 Bendera Schleswig-Holstein Schleswig-Holstein Kiel Negeri 15,804 2,958,519
16 Bendera Thüringen Thüringen Erfurt Negeri 16,202 2,078,946

Angka penduduk dalam jadual merupakan hasil pengemaskinian statistik penduduk berasaskan Banci 2022, bukannya hasil banci baharu bagi tahun 2025.[63]

Hubungan luar dan pertahanan

[sunting | sunting sumber]

Dasar luar

[sunting | sunting sumber]

Dasar luar Republik Persekutuan Jerman sejak penubuhannya pada 1949 berkembang berasaskan dua kerangka utama, iaitu penyepaduan Eropah dan hubungan transatlantik, di samping penglibatan aktif dalam institusi pelbagai hala. Jerman Barat ialah salah satu daripada enam negara yang menandatangani Perjanjian Rom pada 25 Mac 1957 untuk menubuhkan Komuniti Ekonomi Eropah (KEE), yang berkuat kuasa pada 1 Januari 1958 dan kemudiannya menjadi salah satu pendahulu Kesatuan Eropah (EU).[64] Jerman Barat menyertai NATO pada 6 Mei 1955; selepas penyatuan semula Jerman pada 3 Oktober 1990, keanggotaan itu turut meliputi wilayah bekas Jerman Timur.[65] Kedua-dua negara Jerman diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 18 September 1973, manakala Jerman bersatu meneruskan keanggotaan Republik Persekutuan selepas 1990.[66]

Friedrich Merz dan Emmanuel Macron berdiri bersama dalam satu sidang di Berlin
Canselor Friedrich Merz dan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Sidang Kemuncak Kedaulatan Digital Eropah di Berlin, 18 November 2025.

Hubungan dengan Perancis mempunyai kedudukan penting dalam dasar Eropah Jerman. Proses pendamaian selepas Perang Dunia II diinstitusikan melalui Perjanjian Élysée pada 22 Januari 1963, yang mewujudkan kerangka kerjasama tetap antara kedua-dua kerajaan. Perjanjian Aachen, yang ditandatangani pada 2019, memperdalam kerjasama dalam bidang seperti keselamatan dan pertahanan, ekonomi, pendigitalan, kebudayaan, dasar rentas sempadan dan iklim. Kedua-dua negara juga mengadakan Majlis Menteri Jerman–Perancis dan Majlis Pertahanan dan Keselamatan Jerman–Perancis sebagai forum kerjasama antara kerajaan.[67]

Hubungan transatlantik, terutamanya dengan Amerika Syarikat, merupakan satu lagi tonggak dasar luar Jerman. Kerjasama ini berakar daripada pembinaan semula Jerman Barat selepas perang dan kemudiannya diperkukuh melalui NATO, hubungan ekonomi serta rangkaian politik, budaya dan kemasyarakatan. Kerajaan Jerman menganggap hubungan dengan Amerika Syarikat dan Kanada sebagai pelengkap kepada penyepaduan Eropah dalam dasar luarnya, khususnya dalam isu keselamatan, kestabilan antarabangsa dan perlindungan aturan pelbagai hala.[68] Hubungan Jerman–Amerika Syarikat bagaimanapun turut mengalami perbezaan dasar dari semasa ke semasa, termasuk penentangan kerajaan Canselor Gerhard Schröder terhadap Perang Iraq pada 2003.

Semasa Perang Dingin, pembahagian Jerman meletakkan Jerman Barat dan Jerman Timur pada garis pemisah antara blok Barat dan blok Timur. Mulai 1969, kerajaan Canselor Willy Brandt melaksanakan dasar Ostpolitik baharu untuk menormalkan hubungan Jerman Barat dengan negara-negara Eropah Timur tanpa meninggalkan perikatannya dengan Barat. Perjanjian Moscow yang ditandatangani dengan Kesatuan Soviet pada 12 Ogos 1970 merupakan hasil utama awal dasar itu; kedua-dua pihak berjanji menyelesaikan pertikaian secara aman dan menghormati sempadan sedia ada di Eropah. Dasar tersebut pada mulanya menimbulkan pertikaian politik domestik, tetapi menjadi sebahagian daripada proses peredaan ketegangan Timur–Barat dan membuka jalan kepada beberapa perjanjian susulan dengan Poland dan Jerman Timur.[69]

Selepas penyatuan semula pada 1990, peranan keselamatan antarabangsa Jerman berkembang. Dalam keputusan penting pada 12 Julai 1994, Mahkamah Perlembagaan Persekutuan Jerman memutuskan bahawa angkatan tentera Jerman boleh mengambil bahagian dalam operasi sistem keselamatan kolektif seperti NATO dan PBB, tetapi penggunaan angkatan bersenjata pada asasnya memerlukan kelulusan terlebih dahulu daripada Bundestag.[70] Pada 24 Mac 1999, pesawat Tornado Jerman menyertai Operasi Allied Force, iaitu kempen udara NATO terhadap Republik Persekutuan Yugoslavia semasa Perang Kosovo. Operasi yang dilaksanakan tanpa mandat Majlis Keselamatan PBB itu merupakan penggunaan tempur pertama angkatan tentera Jerman selepas Perang Dunia II; selepas tamat kempen tersebut, Jerman turut menyertai pasukan Kosovo Force (KFOR) yang beroperasi berdasarkan mandat PBB.[71]

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada 2022 membawa kepada penilaian semula yang besar terhadap dasar keselamatan Jerman dan mengembalikan pertahanan wilayah serta pertahanan kolektif NATO sebagai keutamaan utama. Pada 14 Jun 2023, kerajaan persekutuan meluluskan Strategi Keselamatan Negara pertama Jerman. Strategi itu menggunakan konsep integrierte Sicherheit ("keselamatan bersepadu"), yang menghubungkan dasar pertahanan dan diplomasi dengan ketahanan ekonomi, keselamatan tenaga, keselamatan siber, perlindungan infrastruktur dan aspek keselamatan lain.[72]

Kerjasama pembangunan dan bantuan kemanusiaan

[sunting | sunting sumber]

Kerjasama pembangunan antarabangsa Jerman diselaraskan terutamanya oleh Kementerian Persekutuan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (BMZ). Kerjasama dua hala dilaksanakan melalui pelbagai organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, khususnya Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ) bagi kerjasama teknikal dan KfW bagi kerjasama kewangan.[73] Sebaliknya, bantuan kemanusiaan kecemasan di luar negara merupakan tanggungjawab Kementerian Luar Persekutuan, yang menyalurkan pembiayaan melalui agensi PBB, Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa serta pertubuhan bukan kerajaan khusus. Program pengurangan kemiskinan dan kerjasama pembangunan jangka lebih panjang kekal dalam bidang tanggungjawab BMZ.[74]

Menurut data awal Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), bantuan pembangunan rasmi (ODA) Jerman berjumlah AS$29.1 bilion pada 2025, bersamaan 0.56% daripada pendapatan negara kasar (PNK). Jumlah itu menurun 17.4% secara nyata berbanding 2024. Jerman menduduki tempat pertama dalam kalangan anggota Jawatankuasa Bantuan Pembangunan (DAC) OECD dari segi jumlah ODA pada 2025, tetapi tempat keenam apabila sumbangan diukur sebagai peratusan PNK. Nisbah 0.56% tersebut berada di bawah sasaran 0.7%; Jerman pernah mencapai sasaran itu pada 2016 dan melebihinya setiap tahun dari 2020 hingga 2023 sebelum kembali berada di bawah paras tersebut pada 2024 dan 2025.[75]

Pada Januari 2026, BMZ mengumumkan pelan pembaharuan Shaping the future together globally untuk menumpukan dasar pembangunan kepada bilangan keutamaan serantau dan bidang yang lebih terpilih serta membezakan bentuk pembiayaan mengikut keadaan negara rakan. Antara perubahan yang digariskan ialah penggunaan pinjaman boleh bayar balik secara lebih meluas dalam kerjasama dengan ekonomi sedang pesat membangun, manakala dana berbentuk geran akan lebih ditumpukan kepada negara kurang maju.[76][77]

Pertahanan dan angkatan tentera

[sunting | sunting sumber]

Angkatan tentera Jerman, Bundeswehr, ditubuhkan pada 1955. Perkara 87a Undang-Undang Asas menetapkan bahawa Persekutuan menubuhkan angkatan tentera bagi tujuan pertahanan dan bahawa penggunaannya bagi tujuan lain hanya dibenarkan setakat yang diperuntukkan secara nyata oleh Undang-Undang Asas.[44] Struktur ketenteraan Bundeswehr kini terdiri daripada empat cabang perkhidmatan, iaitu Tentera Darat (Heer), Tentera Udara (Luftwaffe), Tentera Laut (Marine) dan Perkhidmatan Ruang Siber dan Maklumat (Cyber- und Informationsraum). Cabang siber menjadi perkhidmatan keempat pada Mei 2024. Keupayaan bersama seperti logistik, perkhidmatan perubatan, polis tentera dan pertahanan kimia, biologi, radiologi dan nuklear pula dihimpunkan dalam Komando Sokongan Bersama Bundeswehr.[78]

Setakat 31 Julai 2026, Bundeswehr mempunyai 186,705 anggota tentera dan 81,048 kakitangan awam, menjadikan jumlah keseluruhan tenaga kerjanya 267,753 orang.[79] Kuasa memerintah angkatan tentera dalam keadaan biasa terletak pada Menteri Pertahanan Persekutuan menurut Perkara 65a Undang-Undang Asas. Apabila keadaan pertahanan (Verteidigungsfall) diisytiharkan secara rasmi, kuasa tersebut berpindah kepada Canselor Persekutuan menurut Perkara 115b.[44]

Bundeswehr beroperasi sebagai sebuah Parlamentsarmee atau "angkatan tentera parlimen". Berdasarkan keputusan Mahkamah Perlembagaan Persekutuan pada 1994, penugasan angkatan bersenjata di luar negara pada asasnya memerlukan persetujuan konstitutif Bundestag terlebih dahulu; tatacara itu kemudiannya diperincikan dalam Parlamentsbeteiligungsgesetz (Akta Penyertaan Parlimen). Setakat 30 Ogos 2026, penugasan luar negara yang dimandatkan Bundestag termasuk operasi menentang IS dan penstabilan Iraq, KFOR di Kosovo, UNIFIL di perairan Lubnan, UNMISS di Sudan Selatan, Operasi Sea Guardian di Mediterranean, operasi maritim Kesatuan Eropah IRINI dan ASPIDES, serta EUFOR Althea di Bosnia dan Herzegovina.[80]

Khidmat tentera wajib umum digantung dalam keadaan aman pada 1 Julai 2011, tetapi asas perundangannya tidak dimansuhkan. Sistem khidmat tentera yang diperbaharui berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 dan pada peringkat awal berasaskan penyertaan sukarela. Semua lelaki dan wanita berumur 18 tahun menerima soal selidik berkaitan kesediaan dan kelayakan untuk berkhidmat; lelaki diwajibkan menjawabnya, manakala penyertaan wanita kekal sukarela. Mulai 1 Julai 2027, pemeriksaan kelayakan diwajibkan bagi lelaki yang lahir mulai 2008. Sekiranya bilangan sukarelawan tidak mencukupi atau keadaan keselamatan memerlukannya, kerajaan boleh memohon supaya Bundestag menggubal undang-undang berasingan untuk mengaktifkan kerahan berdasarkan keperluan (Bedarfswehrpflicht).[81]

Selepas 2022, Bundeswehr kembali memberi keutamaan kepada pertahanan Jerman dan pertahanan kolektif NATO. Salah satu perubahan paling ketara ialah penempatan tetap Briged Berperisai ke-45 "Litauen" di Lithuania. Briged itu ditubuhkan secara rasmi pada 1 April 2025 sebagai sebahagian daripada pengukuhan sayap timur NATO dan dijadualkan mencapai keupayaan operasi penuh menjelang akhir 2027, dengan kira-kira 4,800 anggota tentera.[82]

Perbelanjaan pertahanan turut meningkat dengan ketara. Bajet pertahanan persekutuan bagi 2026 ialah €82.7 bilion, berbanding €62.4 bilion pada tahun sebelumnya, dan ditambah dengan €25.5 bilion daripada dana khas Bundeswehr. Kerajaan persekutuan merancang untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan secara berperingkat sehingga mencapai 3.5% daripada KDNK menjelang 2029.[83]

Undang-undang

[sunting | sunting sumber]
Bangunan Mahkamah Perlembagaan Persekutuan Jerman di Karlsruhe
Bangunan Mahkamah Perlembagaan Persekutuan di Karlsruhe.

Kerangka undang-undang Jerman berasaskan Hukum Asas (Grundgesetz), yang merupakan norma tertinggi dalam hierarki undang-undang domestik. Sumber bertulis utama undang-undang Jerman terdiri daripada Hukum Asas, undang-undang yang diluluskan oleh badan perundangan, peraturan berkanun (Rechtsverordnungen) dan undang-undang kecil (Satzungen). Perkara 20(3) Hukum Asas menetapkan bahawa badan perundangan terikat pada tertib perlembagaan, manakala badan eksekutif dan kehakiman terikat pada undang-undang dan keadilan. Hak asasi yang termaktub dalam Hukum Asas pula mengikat ketiga-tiga cabang kuasa negara secara langsung.[84][85]

Walaupun keputusan mahkamah memainkan peranan penting dalam pentafsiran dan perkembangan undang-undang, perundangan kes pada umumnya tidak dianggap sebagai sumber formal undang-undang yang setara dengan statut. Sesetengah keputusan Mahkamah Perlembagaan Persekutuan, bagaimanapun, mempunyai kuat kuasa undang-undang.[84] Sebagai negara anggota Kesatuan Eropah, Jerman turut tertakluk pada undang-undang Kesatuan Eropah. Peraturan EU yang berkuat kuasa secara langsung terpakai tanpa perlu digubal semula sebagai undang-undang kebangsaan, manakala arahan EU pada asasnya perlu dilaksanakan melalui undang-undang domestik. Menurut perundangan kes Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah, undang-undang EU pada prinsipnya mempunyai keutamaan pemakaian apabila bercanggah dengan undang-undang domestik dalam bidang yang berada dalam lingkungan undang-undang EU.[84]

Kehakiman

[sunting | sunting sumber]

Kuasa kehakiman dijalankan oleh hakim melalui Mahkamah Perlembagaan Persekutuan, mahkamah persekutuan lain yang diperuntukkan oleh Hukum Asas dan mahkamah negeri-negeri. Perkara 97 Hukum Asas menjamin kebebasan hakim dan menetapkan bahawa mereka hanya tertakluk pada undang-undang.[86][87]

Mahkamah Perlembagaan Persekutuan (Bundesverfassungsgericht, BVerfG), yang berpusat di Karlsruhe, merupakan mahkamah persekutuan yang bebas daripada organ perlembagaan lain dan bertanggungjawab terhadap pengadilan perlembagaan. Bidang kuasanya merangkumi aduan perlembagaan oleh individu yang mendakwa hak asasi mereka dicabuli oleh pihak berkuasa awam, pertikaian antara organ persekutuan, pertikaian antara Persekutuan dengan negeri, semakan kehakiman terhadap undang-undang, pertikaian pilihan raya tertentu dan prosiding pengharaman parti politik.[88] Mahkamah ini bukan peringkat rayuan tambahan bagi kes sivil, jenayah atau pentadbiran biasa. Jika sesebuah mahkamah menganggap undang-undang Parlimen yang menentukan penyelesaian sesuatu kes sebagai tidak berperlembagaan, mahkamah tersebut hendaklah menangguhkan prosiding dan merujuk persoalan perlembagaan itu kepada mahkamah perlembagaan yang berkenaan, termasuk BVerfG apabila Hukum Asas terlibat.[89] Keputusan BVerfG mengikat organ perlembagaan Persekutuan dan negeri, semua mahkamah serta pihak berkuasa awam; dalam kategori prosiding tertentu, keputusannya turut mempunyai kuat kuasa undang-undang.[90]

Di luar pengadilan perlembagaan, sistem kehakiman dibahagikan kepada lima bidang utama, iaitu bidang kuasa biasa bagi perkara sivil dan jenayah serta bidang kuasa pentadbiran, kewangan, buruh dan sosial. Perkara 95 Hukum Asas menetapkan sebuah mahkamah tertinggi persekutuan bagi setiap bidang tersebut.[91]

Lima mahkamah tertinggi persekutuan menurut Perkara 95 Hukum Asas[91]
Bidang kuasa Mahkamah tertinggi persekutuan Tempat
Biasa: sivil dan jenayah Mahkamah Keadilan Persekutuan (Bundesgerichtshof, BGH) Karlsruhe
Pentadbiran Mahkamah Pentadbiran Persekutuan (Bundesverwaltungsgericht, BVerwG) Leipzig
Kewangan Mahkamah Kewangan Persekutuan (Bundesfinanzhof, BFH) Munich
Buruh Mahkamah Buruh Persekutuan (Bundesarbeitsgericht, BAG) Erfurt
Sosial Mahkamah Sosial Persekutuan (Bundessozialgericht, BSG) Kassel

Kebanyakan mahkamah pada peringkat pertama dan kedua merupakan mahkamah negeri, manakala mahkamah tertinggi bagi kelima-lima bidang utama tersebut ialah institusi persekutuan. Dalam bidang kuasa biasa, struktur mahkamah terdiri daripada Amtsgericht, Landgericht dan Oberlandesgericht pada peringkat negeri, dengan BGH sebagai mahkamah tertinggi persekutuan. Struktur berasingan turut wujud bagi bidang kuasa buruh, pentadbiran, kewangan dan sosial.[92][93]

Undang-undang persendirian dan jenayah

[sunting | sunting sumber]

Sebahagian besar bidang utama undang-undang persendirian dan jenayah dikodifikasikan pada peringkat persekutuan. Bürgerliches Gesetzbuch (BGB) merupakan kod utama undang-undang persendirian dan meliputi antara lain kedudukan undang-undang orang, obligasi dan kontrak, harta, keluarga serta pewarisan.[94] Kesalahan jenayah dan hukuman teras pula diperuntukkan dalam Strafgesetzbuch (StGB), dengan tatacara jenayah diatur terutamanya oleh Strafprozessordnung (StPO).[95][84]

Hukum Asas turut menetapkan beberapa jaminan teras dalam bidang jenayah. Perkara 103(2) mengkanunkan prinsip bahawa seseorang hanya boleh dihukum bagi perbuatan yang telah ditetapkan sebagai kesalahan oleh undang-undang sebelum perbuatan itu dilakukan, manakala Perkara 103(3) melarang seseorang daripada dihukum lebih daripada sekali bagi perbuatan yang sama di bawah undang-undang jenayah umum. Hukuman mati dimansuhkan secara mutlak oleh Perkara 102 Hukum Asas.[96][97]

Dalam bidang undang-undang jenayah antarabangsa, Völkerstrafgesetzbuch (VStGB), yang berkuat kuasa pada 30 Jun 2002, memperuntukkan kesalahan seperti genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang. Bagi kesalahan dalam §§ 6–12 VStGB, undang-undang ini menerapkan prinsip bidang kuasa sejagat, iaitu kesalahan tersebut boleh berada dalam bidang kuasa undang-undang Jerman walaupun dilakukan di luar negara dan tidak mempunyai kaitan dengan Jerman.[98][99]

Peringkat negeri

[sunting | sunting sumber]

Sebagai sebuah negara persekutuan, kuasa perundangan Jerman dibahagikan antara Persekutuan (Bund) dengan 16 negeri (Länder). Menurut Perkara 70 Hukum Asas, kuasa menggubal undang-undang pada asasnya terletak pada negeri kecuali apabila Hukum Asas menyerahkan sesuatu bidang kepada Persekutuan. Hukum Asas seterusnya membezakan antara kuasa perundangan eksklusif Persekutuan dan kuasa perundangan bersama (konkurrierende Gesetzgebung).[100] Antara bidang eksklusif Persekutuan ialah hal ehwal luar negeri, pertahanan, kewarganegaraan, mata wang dan pengangkutan udara.[101]

Bidang kuasa bersama pula merangkumi, antara lain, undang-undang persendirian, undang-undang jenayah, organisasi dan tatacara mahkamah, undang-undang buruh serta keselamatan sosial. Dalam bidang ini, negeri boleh menggubal undang-undang selagi dan setakat Persekutuan belum menggunakan bidang kuasa perundangannya. Hanya bagi bidang tertentu yang disenaraikan dalam Perkara 72(2), kuasa Persekutuan bergantung pada keperluan untuk mewujudkan taraf keadaan hidup yang setara di seluruh negara atau memelihara kesatuan undang-undang atau ekonomi demi kepentingan negara. Perkara 72(3) pula membenarkan negeri menyimpang daripada undang-undang persekutuan dalam beberapa bidang khusus, termasuk pemburuan, pemuliharaan alam, perancangan ruang, pengurusan air, kemasukan dan kelayakan universiti serta cukai harta.[102] Di luar pengecualian yang diperuntukkan oleh Hukum Asas, Perkara 31 menetapkan prinsip bahawa undang-undang persekutuan mengatasi undang-undang negeri yang bercanggah.[103]

Negeri-negeri mengambil bahagian dalam penggubalan undang-undang dan pentadbiran Persekutuan melalui Bundesrat, selain terlibat dalam perkara berkaitan Kesatuan Eropah.[104] Semua undang-undang persekutuan yang telah diluluskan oleh Bundestag dikemukakan kepada Bundesrat. Bagi kategori undang-undang yang memerlukan persetujuannya, Bundesrat mesti memberikan kelulusan supaya undang-undang itu dapat berkuat kuasa; bagi undang-undang lain, Bundesrat boleh mengemukakan bantahan yang dalam keadaan tertentu boleh ditolak semula oleh Bundestag.[105]

Pembahagian persekutuan turut penting pada peringkat pentadbiran. Sebagai peraturan umum, negeri-negeri melaksanakan undang-undang persekutuan sebagai urusan mereka sendiri kecuali Hukum Asas menentukan atau membenarkan sebaliknya. Dalam keadaan demikian, negeri biasanya menentukan susunan pihak berkuasa dan tatacara pentadbiran, tertakluk pada peruntukan serta pengecualian yang dibenarkan oleh Perkara 84 Hukum Asas.[106][107]

Setiap negeri mempunyai perlembagaan dan mahkamah perlembagaan sendiri, yang mengendalikan pertikaian di bawah perlembagaan negeri masing-masing. Kesemua 16 negeri kini mempunyai mahkamah sedemikian.[108] Sistem ini berasingan daripada Mahkamah Perlembagaan Persekutuan, walaupun persoalan tentang keserasian undang-undang negeri dengan Hukum Asas atau undang-undang persekutuan dalam keadaan yang ditetapkan oleh Perkara 100 boleh dirujuk kepada BVerfG.[88]

Demografi

[sunting | sunting sumber]
Piramid penduduk Jerman mengikut kumpulan umur dan jantina pada tahun 2026
Piramid penduduk Jerman mengikut kumpulan umur dan jantina pada tahun 2026.

Pada 31 Disember 2025, jumlah penduduk Jerman ialah 83,467,117 orang berdasarkan pengemaskinian rasmi statistik penduduk yang berasaskan Banci 2022.[63] Jerman kekal sebagai negara anggota Kesatuan Eropah dengan jumlah penduduk terbesar; angka penduduk yang digunakan oleh Majlis Kesatuan Eropah bagi tahun 2025 turut meletakkan Jerman di hadapan Perancis dan Itali.[109]

Penduduk Jerman berkurang sebanyak kira-kira 110,000 orang, atau 0.1%, sepanjang 2025. Pada tahun tersebut, bilangan kematian melebihi kelahiran sebanyak kira-kira 352,000 orang, manakala migrasi bersih antarabangsa mencatat lebihan kira-kira 235,000 orang dan tidak mencukupi untuk mengimbangi penurunan semula jadi penduduk.[110] Sebanyak 654,241 kelahiran hidup dicatatkan pada tahun 2025, jumlah terendah dalam tempoh pascaperang. Kadar kesuburan keseluruhan pula menurun kepada 1.32 anak bagi setiap wanita, berbanding 1.35 pada tahun 2024, dan merupakan paras terendah sejak 1997.[111]

Penuaan penduduk merupakan satu lagi ciri utama perkembangan demografi Jerman. Unjuran penduduk terselaras ke-16 oleh Pejabat Perangkaan Persekutuan menjangkakan bahawa menjelang 2035, kira-kira satu perempat penduduk akan berumur 67 tahun ke atas. Bagi tahun 2070, 27 senario unjuran yang menggunakan andaian berlainan tentang kesuburan, jangka hayat dan migrasi menghasilkan jumlah penduduk antara 63.9 juta dengan 86.5 juta orang. Senario yang mengandaikan perkembangan sederhana bagi ketiga-tiga komponen tersebut menghasilkan jumlah kira-kira 74.7 juta orang.[112] Angka tersebut ialah hasil satu senario unjuran yang bergantung pada andaian demografi dan bukannya ramalan tunggal tentang jumlah penduduk pada masa hadapan.

Imigrasi memainkan peranan penting dalam membentuk komposisi penduduk Jerman. Menurut keputusan awal Mikrozensus 2025, kira-kira 21.8 juta orang mempunyai "sejarah imigrasi" (Jerman: Einwanderungsgeschichte), bersamaan 26.3% daripada penduduk yang tinggal dalam isi rumah persendirian. Destatis mentakrifkan kumpulan ini sebagai mereka yang berhijrah sendiri ke Jerman sejak 1950 atau mereka yang kedua-dua ibu bapanya berbuat demikian. Jumlah tersebut meningkat daripada 13.0 juta orang pada tahun 2005.[113] Ukuran ini berbeza daripada kewarganegaraan. Pada 31 Disember 2025, seramai 12,430,895 penduduk, atau 14.9% daripada jumlah penduduk, tidak mempunyai kewarganegaraan Jerman.[63]

Dari segi taburan penduduk mengikut bandar, Banci 2022 merekodkan Berlin, Hamburg, Munich dan Cologne sebagai empat bandar Jerman yang masing-masing mempunyai lebih daripada sejuta penduduk. Banci yang sama merekodkan 78 bandar dengan sekurang-kurangnya 100,000 penduduk.[114]

Katedral Cologne dilihat dari kawasan bandar Cologne
Katedral Cologne di Cologne.

Kebebasan beragama dan berkepercayaan dilindungi oleh Perkara 4 Undang-undang Asas Jerman, yang menjamin kebebasan kepercayaan, hati nurani dan pengamalan agama.[115] Perkara 140 pula menggabungkan beberapa peruntukan Perlembagaan Weimar ke dalam Undang-undang Asas, termasuk Perkara 137 yang menetapkan bahawa tiada gereja negara. Pertubuhan agama mengurus hal ehwal mereka secara autonomi dalam lingkungan undang-undang umum, manakala pertubuhan yang mempunyai status perbadanan di bawah undang-undang awam boleh mengenakan cukai berdasarkan peruntukan undang-undang negeri.[116]

Jerman tidak mempunyai satu siri statistik rasmi berkala yang mengukur keanggotaan atau pegangan semua agama dengan kaedah yang seragam. Pejabat Perangkaan Persekutuan menyatakan bahawa data mengenai agama diperoleh daripada pelbagai sumber; Banci 2022, misalnya, hanya merekodkan keanggotaan dalam pertubuhan agama berstatus perbadanan di bawah undang-undang awam yang terdapat dalam daftar penduduk.[117] Oleh itu, angka bagi kumpulan agama yang berlainan mungkin berasaskan keanggotaan institusi, daftar pentadbiran atau anggaran kaji selidik dan tidak semestinya boleh dibandingkan secara langsung.

Kristian mempunyai kedudukan sejarah yang penting dalam masyarakat Jerman, khususnya melalui Gereja Katolik dan gereja-gereja Protestan anggota Gereja Evangelis di Jerman (EKD). Perangkaan awal Persidangan Uskup Jerman bagi tahun 2025 merekodkan 19,219,601 anggota Gereja Katolik, bersamaan 23% daripada jumlah penduduk.[118] EKD pula menganggarkan hampir 17.4 juta anggota pada 31 Disember 2025; angka tersebut dinyatakan sebagai anggaran awal oleh EKD.[119] Angka ini mengukur keanggotaan gereja dan bukannya secara langsung tahap kepercayaan atau amalan agama seseorang.

Bagi Islam, kajian nasional menyeluruh yang terkini oleh Pejabat Persekutuan bagi Migrasi dan Pelarian (BAMF), Muslimisches Leben in Deutschland 2020, menganggarkan bahawa pada tahun 2019 terdapat antara 5.3 juta dengan 5.6 juta penganut Islam yang mempunyai latar belakang migrasi dari negara yang majoriti atau sebahagian besar penduduknya beragama Islam. Jumlah itu bersamaan kira-kira 6.4% hingga 6.7% daripada penduduk Jerman pada ketika itu. Mereka yang berasal dari Turki kekal sebagai kumpulan negara asal terbesar dalam kalangan penganut Islam yang dikaji, tetapi komposisi penduduk Islam semakin pelbagai berikutan migrasi dari Timur Tengah, Afrika Utara dan kawasan lain.[120] Angka ini merupakan anggaran kajian bagi tahun 2019 dan tidak wajar dianggap sebagai kiraan pentadbiran bagi tahun 2025 atau 2026.

Papan tanda jalan dengan nama dalam bahasa Jerman dan Sorbia di Cottbus
Papan tanda jalan dwibahasa Jerman dan Sorbia di Cottbus, Brandenburg.

Bahasa Jerman merupakan bahasa dominan dalam kehidupan awam dan persendirian. Di peringkat persekutuan, Seksyen 23 Verwaltungsverfahrensgesetz (VwVfG) menetapkan bahasa Jerman sebagai bahasa rasmi bagi prosedur pentadbiran yang tertakluk pada akta tersebut.[121] Bahasa Jerman juga merupakan salah satu daripada 24 bahasa rasmi Kesatuan Eropah.[122]

Data Mikrozensus bagi tahun 2024 menunjukkan bahawa kira-kira 77% penduduk dalam isi rumah persendirian menggunakan bahasa Jerman sahaja di rumah, manakala 17% menggunakan bahasa Jerman bersama sekurang-kurangnya satu bahasa lain. Sebanyak 6% selebihnya menggunakan satu atau lebih bahasa lain tanpa menggunakan bahasa Jerman di rumah. Dalam kalangan 15.5 juta orang yang menggunakan bahasa selain bahasa Jerman sebagai bahasa utama atau satu-satunya bahasa di rumah, bahasa Turki merupakan bahasa yang paling lazim, iaitu sebanyak 14%, diikuti oleh bahasa Rusia sebanyak 12% dan bahasa Arab sebanyak 9%.[123] Perangkaan ini mengukur bahasa yang digunakan di rumah dan bukannya keseluruhan keupayaan bahasa seseorang.

Jerman turut melindungi beberapa bahasa yang digunakan secara tradisional di bawah Piagam Eropah bagi Bahasa Wilayah atau Minoriti. Dalam pengisytiharannya kepada Majlis Eropah, Jerman menetapkan bahasa Denmark, bahasa Sorbia Hulu, bahasa Sorbia Hilir, bahasa Frisia Utara, bahasa Frisia Saterland serta bahasa Romani yang digunakan oleh masyarakat Sinti dan Roma Jerman sebagai bahasa minoriti. Bahasa Jerman Hilir pula diiktiraf sebagai bahasa wilayah bagi tujuan Piagam tersebut.[124] Perlindungan ini merujuk kepada bahasa wilayah atau minoriti yang digunakan secara tradisional. Menurut takrif Piagam, bahasa yang dibawa oleh migrasi terkini tidak termasuk dalam kategori tersebut;[125] oleh itu, bahasa seperti Turki, Rusia dan Arab yang banyak digunakan dalam komuniti imigran perlu dibezakan daripada bahasa minoriti yang memperoleh perlindungan khusus berdasarkan Piagam.

Kompleks perindustrian Volkswagen di Wolfsburg
Kilang Volkswagen di Wolfsburg pada 2025.

Jerman mempunyai salah satu ekonomi terbesar di dunia. Sistem ekonominya berasaskan prinsip ekonomi pasaran sosial, yang menggabungkan persaingan dan pemilikan swasta dengan dasar sosial serta pengawalseliaan bagi mengehadkan pemusatan kuasa pasaran.[126] Pada 2025, keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal Jerman pada harga semasa berjumlah €4.53 trilion, manakala KDNK benar meningkat sebanyak 0.2% berbanding tahun sebelumnya. Semakan terkini Destatis menunjukkan bahawa ekonomi tidak berubah secara keseluruhan pada 2024. Pemulihan kemudiannya menjadi lebih ketara pada separuh pertama 2026, apabila KDNK benar meningkat sebanyak 0.4% pada suku pertama dan 0.3% pada suku kedua berbanding suku sebelumnya selepas pelarasan harga, musim dan kalendar.[127]

Sebagai anggota pengasas Kesatuan Eropah (EU), Jerman terintegrasi rapat dengan pasaran tunggal Eropah. Negara ini menggunakan euro sejak 1999, dengan wang kertas dan syiling euro diperkenalkan pada 2002.[128] Dasar monetari Jerman ditentukan pada peringkat zon euro oleh Bank Pusat Eropah (ECB), yang beribu pejabat di Frankfurt am Main, bersama-sama bank pusat negara anggota melalui Eurosistem.[129]

Perindustrian dan perdagangan

[sunting | sunting sumber]

Asas perindustrian kekal sebagai ciri penting ekonomi Jerman. Pada 2025, sektor pengeluaran (Jerman: produzierendes Gewerbe) menyumbang 22.9% daripada nilai ditambah kasar negara, berbanding 19.2% bagi EU secara keseluruhan.[130] Antara cabang perindustrian utamanya ialah industri automotif, pembinaan jentera, industri kimia, produk logam serta peralatan elektrik, elektronik dan optik. Industri automotif dan kejuruteraan mekanikal merupakan antara sektor pembuatan terbesar, walaupun kedua-duanya menghadapi persaingan yang semakin kuat di pasaran antarabangsa dan mencatatkan kemerosotan pengeluaran pada 2025.[131]

Struktur perusahaan Jerman turut dicirikan oleh Mittelstand, iaitu kelompok luas perusahaan kecil dan sederhana serta banyak perusahaan milik keluarga yang menjadi bahagian penting dalam rantaian bekalan dan industri berorientasikan eksport. Menurut Kementerian Persekutuan bagi Ekonomi dan Tenaga, 99.3% perusahaan Jerman tergolong dalam Mittelstand, manakala perusahaan kecil dan sederhana menggaji 54% pekerja bergaji dan menyediakan tempat latihan kepada 71% perantis.[132]

Perdagangan luar merupakan satu lagi tonggak utama ekonomi. Pada 2025, Jerman mengeksport barangan bernilai €1.563 trilion dan mengimport barangan bernilai €1.363 trilion, menghasilkan lebihan perdagangan barangan sebanyak €200.4 bilion. Eksport meningkat sebanyak 0.9% berbanding 2024, manakala import meningkat 4.3%. China kembali menjadi rakan dagang barangan terbesar Jerman pada tahun tersebut dengan jumlah perdagangan €251.8 bilion, diikuti Amerika Syarikat dengan €240.5 bilion.[133] Kebergantungan yang tinggi terhadap perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan sejagat menjadikan ekonomi Jerman lebih terdedah kepada perubahan permintaan luar, halangan perdagangan dan ketegangan geopolitik.[134]

Pasaran buruh dan pembangunan wilayah

[sunting | sunting sumber]

Pasaran buruh Jerman melemah selepas beberapa tahun pertumbuhan ekonomi yang perlahan. Mengikut takrif pentadbiran Bundesagentur für Arbeit, jumlah penganggur pada 2025 ialah purata 2.948 juta orang, meningkat 161,000 orang daripada 2024, sementara kadar pengangguran purata meningkat daripada 6.0% kepada 6.3%. Permintaan tenaga kerja juga menjadi lebih lemah dan penggunaan skim kerja waktu singkat (Jerman: Kurzarbeit) kekal pada paras yang tinggi.[135]

Lebih tiga dekad selepas penyatuan semula, perbezaan pendapatan antara wilayah timur dengan barat masih ketara. Pada 2025, pendapatan kasar tahunan median bagi pekerja sepenuh masa ialah €46,013 di negeri-negeri timur, tidak termasuk Berlin, berbanding €55,435 di negeri-negeri barat. Median seluruh negara ialah €54,066.[136]

Selain persaingan antarabangsa, penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 2026 mengenal pasti pertumbuhan produktiviti yang lemah, perubahan teknologi, penuaan penduduk dan keperluan meningkatkan pelaburan awam sebagai antara cabaran struktur terhadap pertumbuhan jangka sederhana Jerman.[134] Kerajaan persekutuan meningkatkan ruang pembiayaan prasarana melalui Gesetz zur Errichtung eines Sondervermögens Infrastruktur und Klimaneutralität, yang berkuat kuasa pada 2025. Undang-undang itu menubuhkan dana khas persekutuan, Sondervermögen Infrastruktur und Klimaneutralität, untuk membiayai sehingga €500 bilion pelaburan tambahan dalam prasarana dan usaha mencapai peneutralan iklim menjelang 2045; sehingga €100 bilion daripada jumlah tersebut diperuntukkan bagi pelaburan prasarana oleh negeri-negeri.[137]

Prasarana

[sunting | sunting sumber]

Dasar tenaga Jerman sejak beberapa dekad kebelakangan ini banyak dipengaruhi oleh Energiewende, iaitu peralihan daripada bahan api fosil dan tenaga nuklear kepada sistem tenaga yang lebih banyak menggunakan tenaga boleh diperbaharui. Pada 2025, tenaga boleh diperbaharui membekalkan 55.1% daripada penggunaan kasar elektrik, meningkat daripada 54.4% pada 2024. Apabila semua kegunaan tenaga termasuk pemanasan dan pengangkutan diambil kira, tenaga boleh diperbaharui menyumbang 23.8% daripada penggunaan akhir tenaga kasar.[138] Di bawah Akta Sumber Tenaga Boleh Diperbaharui Jerman (Jerman: Erneuerbare-Energien-Gesetz), sasaran bagi 2030 ialah sekurang-kurangnya 80% penggunaan kasar elektrik daripada sumber boleh diperbaharui.[139] Tenaga angin dan tenaga suria merupakan sumber utama dalam pengembangan kapasiti tersebut.[138]

Jerman menamatkan penjanaan elektrik komersial daripada tenaga nuklear pada 15 April 2023 apabila tiga loji terakhir, Emsland, Isar 2 dan Neckarwestheim 2, menghentikan operasi. Penutupan tersebut menyelesaikan proses pengunduran daripada tenaga nuklear yang dipercepatkan melalui keputusan perundangan pada 2011, walaupun penyahaktifan kemudahan dan pengurusan sisa radioaktif terus menjadi tanggungjawab jangka panjang.[140]

Pengangkutan

[sunting | sunting sumber]
Kereta api ICE 3 putih dan merah di landasan berkelajuan tinggi
Kereta api ICE 3 di laluan berkelajuan tinggi Köln–Frankfurt berhampiran Terowong Oberhaider Wald (2007).
Kapal dengan muatan kontena di Terminal Kontena Altenwerder
Kapal Iris Bolten di Terminal Kontena Altenwerder, Pelabuhan Hamburg (2013).

Kedudukan Jerman di tengah Eropah menjadikannya simpang utama bagi pengangkutan jalan raya, kereta api, udara dan laut. Rangkaian Autobahn persekutuannya mempunyai panjang keseluruhan 13,315 km pada 1 Januari 2025.[141] Tidak terdapat satu had kelajuan umum bagi kereta penumpang pada semua ruas Autobahn. Had khusus boleh dikenakan melalui papan tanda, manakala bagi ruas yang tidak tertakluk kepada had sedemikian, peraturan persekutuan mengesyorkan kelajuan panduan (Jerman: Richtgeschwindigkeit) 130 km/j bagi kereta penumpang dan kenderaan lain dengan berat kasar dibenarkan sehingga 3.5 tan.[142][143]

Rangkaian kereta api merupakan satu lagi komponen utama sistem pengangkutan. Pada penghujung 2025, DB InfraGO, syarikat prasarana Deutsche Bahn, mengendalikan rangkaian operasi sepanjang 33,389 km dan 5,411 stesen penumpang.[144] Perkhidmatan jarak jauh Intercity-Express (ICE) menggunakan beberapa laluan berkelajuan tinggi yang menghubungkan pusat bandar utama, termasuk laluan Köln–Frankfurt, dan kereta api ICE beroperasi pada kelajuan sehingga 300 km/j dalam perkhidmatan biasa pada laluan yang sesuai. Varian ICE tertentu turut digunakan bagi perkhidmatan rentas sempadan.[145]

Pelabuhan laut dan lapangan terbang melengkapkan rangkaian logistik antarabangsa. Menurut statistik pengangkutan laut Destatis, Pelabuhan Hamburg merupakan pelabuhan laut Jerman dengan jumlah pengendalian kargo terbesar pada 2025, sebanyak 99.8 juta tan, diikuti Bremerhaven dan Wilhelmshaven.[146] Lapangan Terbang Frankfurt pula merupakan lapangan terbang terbesar di Jerman dari segi lalu lintas penumpang dan menerima kira-kira 63.2 juta penumpang pada 2025.[147]

Sains dan teknologi

[sunting | sunting sumber]

Jerman mempunyai tradisi penyelidikan yang panjang dan kekal sebagai salah satu pusat utama sains dan teknologi di Eropah. Sistem penyelidikannya merangkumi universiti, institusi penyelidikan bukan universiti, makmal kerajaan dan sektor perusahaan, dengan pembiayaan serta penyelarasan yang melibatkan kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri. Kebebasan sains, penyelidikan dan pengajaran dijamin oleh Perkara 5(3) Undang-Undang Asas, manakala Perkara 91b membolehkan kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri bekerjasama dalam pembiayaan sains, penyelidikan dan pengajaran yang berkepentingan merentas negeri.[148]

Warisan saintifik dan teknologi

[sunting | sunting sumber]
Potret hitam putih Albert Einstein pada tahun 1921
Albert Einstein pada tahun 1921.

Pusat-pusat pengajian dan penyelidikan di negeri-negeri Jerman memainkan peranan penting dalam perkembangan sains moden. Dalam fizik, Max Planck memperkenalkan konsep kuanta tenaga pada tahun 1900, yang menjadi asas penting kepada perkembangan mekanik kuantum dan membawanya kepada Hadiah Nobel dalam Fizik bagi tahun 1918.[149] Albert Einstein, yang dilahirkan di Ulm dan bekerja di Berlin dari 1914 hingga 1933, menghasilkan sumbangan asas kepada fizik teori, termasuk penjelasannya tentang kesan fotoelektrik, yang disebut secara khusus ketika beliau dianugerahi Hadiah Nobel dalam Fizik bagi tahun 1921.[150] Werner Heisenberg kemudian membangunkan formulasi awal mekanik kuantum dan hubungan ketakpastian, manakala Max Born memberikan tafsiran statistik kepada fungsi gelombang.[151][152] Pada tahun 1895, Wilhelm Conrad Röntgen menemui sinar-X ketika menjalankan eksperimen di Universiti Würzburg; penemuan tersebut menjadikannya penerima pertama Hadiah Nobel dalam Fizik pada tahun 1901.[153]

Tradisi matematik Jerman turut dikaitkan dengan tokoh seperti Gottfried Wilhelm Leibniz, yang mengembangkan tatatanda moden bagi kalkulus pembezaan dan pengamiran, Carl Friedrich Gauss, yang memberikan sumbangan besar dalam teori nombor, analisis, geometri, geodesi dan astronomi, serta David Hilbert, yang mempengaruhi perkembangan geometri aksiomatik, analisis dan asas matematik pada abad ke-20.[154][155][156] Dalam sains semula jadi, pemerhatian Alexander von Humboldt terhadap hubungan antara tumbuhan, ketinggian, iklim dan persekitaran membantu membentuk perkembangan geografi tumbuhan dan biogeografi.[157] Dalam bidang psikologi, Wilhelm Wundt menubuhkan institut psikologi eksperimen pertama di dunia di Universiti Leipzig pada tahun 1879, satu perkembangan penting dalam pembentukan psikologi sebagai disiplin eksperimen tersendiri.[158]

Jerman juga memberikan sumbangan besar kepada kimia, perubatan dan sains hayat. Fritz Haber membangunkan kaedah sintesis ammonia daripada nitrogen dan hidrogen, sementara Carl Bosch menyesuaikan tindak balas tersebut kepada pengeluaran berskala industri melalui teknik tekanan tinggi; proses Haber–Bosch kemudiannya menjadi penting bagi pengeluaran baja nitrogen.[159][160] Dalam bidang perubatan, penyelidikan Robert Koch terhadap tuberkulosis menjadi antara asas penting bakteriologi perubatan, manakala Emil von Behring membangunkan terapi serum untuk difteria; kedua-duanya menerima Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan, masing-masing pada 1905 dan 1901.[161][162]

Perkembangan teknologi di wilayah Jerman turut memberi kesan antarabangsa. Sekitar pertengahan abad ke-15 di Mainz, Johannes Gutenberg menyempurnakan sistem percetakan mekanikal menggunakan huruf logam boleh alih, yang mempercepat pengeluaran buku di Eropah.[163] Antara 1886 dengan 1888, Heinrich Hertz menghasilkan dan mengesan gelombang elektromagnet secara eksperimen di Karlsruhe, sekali gus mengesahkan ramalan teori James Clerk Maxwell dan menyediakan asas penting kepada teknologi frekuensi tinggi serta komunikasi radio.[164] Pada tahun 1941, Konrad Zuse menyiapkan Z3, mesin pengiraan automatik boleh atur cara yang berfungsi sepenuhnya dan merupakan salah satu pencapaian terawal dalam sejarah komputer.[165]

Teknologi roket Jerman pada zaman Jerman Nazi turut mempengaruhi program angkasa lepas pascaperang. Pasukan yang diketuai Wernher von Braun membangunkan peluru berpandu V-2, pendahulu teknologi pelancar yang kemudiannya digunakan di Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Pengeluaran V-2 di kompleks Mittelwerk menggunakan buruh paksa daripada kem tahanan Mittelbau-Dora dalam keadaan yang mengakibatkan kematian ramai tahanan. Selepas perang, von Braun dan sebahagian pasukannya dipindahkan ke Amerika Syarikat melalui Operasi Paperclip; beliau kemudian mengetuai usaha pembangunan Saturn V di NASA yang digunakan dalam Program Apollo.[166]

Penyelidikan dan inovasi semasa

[sunting | sunting sumber]
Bahagian kemudahan penyelidikan European XFEL
Kemudahan European XFEL, sebuah laser elektron bebas sinar-X antarabangsa yang beroperasi di Hamburg dan Schenefeld.

Sistem penyelidikan Jerman menggabungkan universiti dengan rangkaian institusi khusus di luar sektor universiti. Empat organisasi penyelidikan bukan universiti yang utama ialah Persatuan Max Planck, Persatuan Fraunhofer, Persatuan Helmholtz dan Persatuan Leibniz. Persatuan Max Planck tertumpu terutamanya pada penyelidikan asas dalam sains semula jadi, sains hayat, sains sosial dan kemanusiaan; Fraunhofer menjalankan penyelidikan gunaan dan pemindahan teknologi dengan hubungan rapat kepada industri; Helmholtz mengendalikan pusat penyelidikan dan infrastruktur saintifik berskala besar dalam bidang seperti tenaga, kesihatan, alam sekitar, maklumat serta aeroangkasa; manakala Persatuan Leibniz merangkumi penyelidikan berorientasikan pengetahuan dan aplikasi serta penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan saintifik. Sistem tersebut turut merangkumi Akademi Sains Kebangsaan Leopoldina, akademi sains negeri serta Akademi Sains dan Kejuruteraan Jerman.[167]

Deutsche Forschungsgemeinschaft (DFG) merupakan salah satu badan utama yang membiayai penyelidikan secara kompetitif di universiti dan institusi penyelidikan. Antara anugerahnya ialah Hadiah Gottfried Wilhelm Leibniz, yang diwujudkan pada 1985 dan diberikan setiap tahun kepada sehingga sepuluh orang penyelidik; setiap anugerah menyediakan pembiayaan penyelidikan sehingga €2.5 juta.[168] Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri turut membiayai bersama organisasi penyelidikan utama melalui pembiayaan institusi dan program penyelidikan bersama.[167]

Pada tahun 2024, perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (P&P) di Jerman berjumlah €137.1 bilion, bersamaan 3.17% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), iaitu bahagian tertinggi sejak siri statistik berkenaan bermula pada 1995.[169] Daripada jumlah tersebut, sektor perusahaan mencatat perbelanjaan P&P sekitar €92.5 bilion, berbanding €24.1 bilion dalam sektor pendidikan tinggi dan €20.4 bilion dalam sektor kerajaan serta institusi swasta bukan untung.[170] Struktur ini mencerminkan peranan besar industri dalam P&P Jerman di samping penyelidikan yang dijalankan oleh universiti dan institusi awam.

Dalam dasar teknologi semasa, kerajaan Persekutuan meluluskan Hightech Agenda Deutschland pada Julai 2025 dengan tumpuan awal kepada enam bidang teknologi: kecerdasan buatan, teknologi kuantum, mikroelektronik, bioteknologi, pelakuran nuklear dan penjanaan tenaga neutral iklim, serta teknologi bagi mobiliti neutral iklim. Bidang strategik lain yang dikenal pasti termasuk aeroangkasa, penyelidikan kesihatan, keselamatan dan pertahanan, serta penyelidikan laut, iklim dan kelestarian.[171] Sebagai salah satu petunjuk aktiviti inovasi, Pejabat Paten Eropah merekodkan 24,476 permohonan paten Eropah yang berasal dari Jerman pada 2025; Jerman merupakan negara asal kedua terbesar bagi permohonan kepada pejabat tersebut selepas Amerika Syarikat dan yang terbesar dalam kalangan negara Eropah.[172][173]

Pendidikan

[sunting | sunting sumber]

Sistem pendidikan Jerman mencerminkan struktur persekutuan negara itu. Berdasarkan pembahagian kuasa dalam Undang-Undang Asas, tanggungjawab utama terhadap sekolah, pendidikan tinggi, pendidikan dewasa dan pendidikan lanjutan terletak pada 16 negeri, manakala kerajaan persekutuan mempunyai bidang kuasa tertentu, antaranya latihan vokasional berasaskan perusahaan, bantuan kewangan kepada murid dan pelajar, serta penggalakan penyelidikan. Negeri menyelaraskan dasar yang merentas sempadan negeri melalui Kultusministerkonferenz (KMK), khususnya bagi memastikan kebolehbandingan kelayakan, pengiktirafan sijil dan mobiliti murid serta pelajar di seluruh negara.[174][175]

Pendidikan awal, rendah dan menengah

[sunting | sunting sumber]

Sebelum memasuki sekolah, kanak-kanak boleh mengikuti pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak di pusat jagaan harian (Kindertageseinrichtung atau Kita), termasuk Kindergarten. Penyertaan pada peringkat ini pada umumnya bersifat sukarela sebelum bermulanya persekolahan wajib.[174] Pada 1 Mac 2025, 37.8% kanak-kanak berumur bawah tiga tahun dan 95.0% kanak-kanak berumur tiga hingga bawah enam tahun mengikuti penjagaan harian formal.[176]

Persekolahan wajib lazimnya bermula pada tahun seseorang kanak-kanak mencapai usia enam tahun. Tempoh persekolahan sepenuh masa wajib biasanya sembilan tahun, tetapi berlangsung selama sepuluh tahun di Berlin, Brandenburg, Bremen dan Thüringen; di Nordrhein-Westfalen, tempohnya sembilan atau sepuluh tahun bergantung pada laluan pendidikan. Remaja yang tidak mengikuti pendidikan menengah atas secara sepenuh masa biasanya tertakluk pula kepada kewajipan mengikuti sekolah vokasional separuh masa selama tiga tahun, selaras dengan tempoh latihan mereka.[177]

Pada peringkat pendidikan rendah, semua murid mengikuti Grundschule. Sekolah rendah ini merangkumi Tahun 1 hingga Tahun 4 di kebanyakan negeri, tetapi berlanjutan hingga Tahun 6 di Berlin dan Brandenburg.[178] Selepas peringkat tersebut, struktur pendidikan menengah berbeza antara negeri dan tidak lagi dapat dihuraikan sebagai satu sistem empat jenis sekolah yang seragam. KMK membezakan tiga laluan utama pada peringkat menengah rendah, iaitu laluan Hauptschule, Realschule dan Gymnasium, tetapi negeri boleh menyediakannya melalui sekolah yang menawarkan satu, dua atau ketiga-tiga laluan tersebut. Oleh itu, selain Hauptschule, Realschule dan Gymnasium yang berasingan, terdapat juga sekolah gabungan dan sekolah komprehensif (Gesamtschule). Perpindahan antara laluan dan pencapaian kelayakan menengah melalui jenis sekolah yang berlainan turut dimungkinkan dalam sistem tersebut.[179]

Pada akhir pendidikan menengah rendah, murid boleh memperoleh kelayakan seperti Erster Schulabschluss dan Mittlerer Schulabschluss, bergantung pada laluan dan pencapaian mereka. Murid yang memenuhi syarat boleh meneruskan pendidikan ke gymnasiale Oberstufe, iaitu peringkat menengah atas yang membawa kepada peperiksaan Abitur. Kelulusan Abitur memberikan Allgemeine Hochschulreife, iaitu kelayakan umum untuk memasuki pendidikan tinggi.[180]

Prestasi sistem persekolahan Jerman turut dinilai melalui Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). Dalam PISA 2022, murid berusia 15 tahun di Jerman memperoleh purata 475 mata bagi matematik, 480 bagi membaca dan 492 bagi sains, berbanding purata OECD masing-masing 472, 476 dan 485 mata. Prestasi Jerman berada hampir dengan purata OECD bagi matematik dan membaca serta melebihi purata bagi sains, tetapi ketiga-tiga skor menurun berbanding 2018 dan merupakan keputusan terendah yang pernah dicatatkan Jerman sepanjang penyertaannya dalam PISA. Jurang pencapaian mengikut latar sosioekonomi juga kekal ketara: bagi matematik, murid dalam suku sosioekonomi teratas mengatasi murid dalam suku terbawah sebanyak 111 mata, berbanding purata 93 mata di seluruh OECD.[181]

Pendidikan dan latihan vokasional

[sunting | sunting sumber]

Pendidikan dan latihan vokasional merupakan salah satu laluan utama selepas persekolahan wajib. Ciri penting sistem Jerman ialah duale Berufsausbildung, atau latihan vokasional dwisistem, yang menggabungkan pembelajaran di tempat kerja dengan pengajaran di Berufsschule (sekolah vokasional). Tempoh latihan biasanya antara dua hingga tiga tahun dan boleh mencapai tiga tahun setengah bagi sesetengah pekerjaan. Pelatih menandatangani kontrak latihan dengan sesebuah perusahaan, menerima elaun latihan dan lazimnya menghabiskan tiga hingga empat hari seminggu di perusahaan serta sehingga dua hari di sekolah vokasional. Sistem ini merangkumi kira-kira 325 pekerjaan latihan yang diiktiraf.[182]

Kandungan latihan di perusahaan ditetapkan melalui peraturan latihan bagi setiap pekerjaan, manakala bahagian sekolah berasaskan kurikulum rangka yang diselaraskan antara negeri dan kerajaan persekutuan. Selain sistem dwisistem, pendidikan vokasional sepenuh masa di Berufsfachschule dan institusi berkaitan merupakan laluan penting dalam bidang tertentu, termasuk kesihatan dan perkhidmatan sosial.[183] Laluan vokasional juga tidak semestinya menutup akses ke pendidikan tinggi. Graduan sekolah vokasional boleh memperoleh Fachhochschulreife, kelayakan masuk universiti khusus bidang atau Abitur melalui beberapa laluan, manakala pemegang kelayakan profesional lanjutan seperti Meister, Techniker dan Fachwirt boleh memperoleh kelayakan masuk pendidikan tinggi umum. Pemegang kelayakan latihan pekerjaan yang lain juga boleh diterima ke program berkaitan bidang tertakluk pada syarat yang ditetapkan.[184]

Pendidikan tinggi

[sunting | sunting sumber]
Fasad bangunan utama Perpustakaan Universiti Heidelberg
Bangunan utama Perpustakaan Universiti Heidelberg.

Sektor pendidikan tinggi terdiri daripada institusi awam dan institusi bukan awam yang diiktiraf negeri. Jenis utamanya ialah universiti, Fachhochschule atau Hochschule für angewandte Wissenschaften (universiti sains gunaan), serta institusi pengajian tinggi seni dan muzik. Universiti lazimnya berorientasikan penyelidikan dan mempunyai bidang pengajian yang lebih luas, manakala universiti sains gunaan memberikan penekanan lebih besar pada aplikasi praktikal dan hubungan dengan dunia pekerjaan. Majoriti institusi pengajian tinggi dibiayai oleh kerajaan negeri, walaupun terdapat juga institusi swasta dan institusi yang dikendalikan oleh gereja yang diiktiraf oleh negeri.[185]

Kelayakan masuk bergantung pada jenis institusi dan program. Allgemeine Hochschulreife yang diperoleh melalui Abitur lazimnya memberikan akses umum ke pendidikan tinggi, manakala Fachhochschulreife membolehkan kemasukan ke universiti sains gunaan. Sejak keputusan KMK pada 2009, pemohon yang mempunyai kelayakan pekerjaan tertentu juga boleh memasuki pendidikan tinggi tanpa Abitur atau Fachhochschulreife, sama ada dengan akses umum bagi kelayakan profesional lanjutan tertentu atau akses khusus bidang bagi pemegang latihan vokasional yang memenuhi syarat.[186]

Pembaharuan melalui Proses Bologna telah menjadikan sistem ijazah bertingkat sarjana muda dan sarjana sebagai bentuk pengajian utama. Pada semester musim sejuk 2024/2025, 92% program pengajian di Jerman membawa kepada ijazah sarjana muda atau sarjana; beberapa bidang, termasuk sebahagian program perubatan, undang-undang dan latihan perguruan, terus menggunakan bentuk peperiksaan atau kelayakan lain.[187] Menurut angka awal Pejabat Perangkaan Persekutuan Jerman, sebanyak 2,876,900 pelajar berdaftar di institusi pengajian tinggi Jerman pada semester musim sejuk 2025/2026, meningkat 0.4% berbanding tahun sebelumnya.[188]

Di institusi pengajian tinggi negeri, program sarjana muda dan kebanyakan program sarjana secara amnya tidak dikenakan yuran pengajian, walaupun pengecualian wujud bagi sesetengah program dan kumpulan pelajar. Semua pelajar biasanya perlu membayar bayaran semester (Semesterbeitrag) bagi membiayai antaranya perkhidmatan kebajikan pelajar dan badan perwakilan pelajar; jumlahnya lazimnya antara €70 hingga €430 setiap semester bergantung pada institusi. Sesetengah negeri dan institusi turut mengenakan yuran pengajian kepada pelajar antarabangsa tertentu atau bagi program pengajian tertentu.[189]

Pengangkutan

[sunting | sunting sumber]
Peta jaringan lebuh raya di Jerman

Oleh sebab kedudukan Jerman di Eropah Tengah, terdapat jumlah pergerakan trafik yang amat tinggi di Jerman. Ini termasuk pergerakan trafik darat, udara dan air. Jerman merupakan negara persinggahan penting bagi sektor logistik Eropah dimana majoriti pergerakan trafiknya terdiri daripada pergerakan barang-barang perdagangan. Dalam dekad yang lepas, trafik barang perdagangan sentiasa beralih daripada perkhidmatan rel kepada jalanraya. Justeru itu, Kerajaan Persekutuan Jerman memperkenalkan tol lebuh raya kepada kenderaan berat pada tahun 2005. Disamping itu, trafik awam juga turut meningkat sehingga dalam jaringan jalanraya di Jerman, terdapat kepadatan yang amat tinggi berbanding di peringkat antarabangsa.

Pada masa akan datang dijangka tedapat peningkatan pergerakan trafik penumpang (1997-2015)sekitar 20% dan pergerakan trafik barang perdagangan (1997-2005)meningkat sekitar 64%. Demi memenuhi peningkatan ini, kerajaan persekutuan Jerman telah meluluskan pelaburan sebanyak 150 bilion Euro untuk tempoh 2001 hingga 2015 bagi menambah kapasiti jaringan jalanraya di Jerman.

Kebudayaan

[sunting | sunting sumber]

Kebudayaan Jerman mencerminkan sejarah wilayah yang pelbagai serta struktur persekutuan negara itu. Pembiayaan dan penggalakan kebudayaan merupakan tanggungjawab terutamanya negeri-negeri dan kerajaan tempatan, manakala kerajaan persekutuan bertanggungjawab terhadap bidang tertentu seperti institusi dan projek berkepentingan nasional, perwakilan kebudayaan di ibu negara, perlindungan warisan kebudayaan serta kerjasama antarabangsa. Susunan ini menjadikan pentadbiran kebudayaan Jerman sangat terdesentralisasi dan tidak tertumpu pada satu pusat kebangsaan.[190]

Warisan kebudayaan Jerman merangkumi tinggalan daripada zaman Rom dan Zaman Pertengahan hingga seni bina perindustrian dan moden. Setakat 2026, UNESCO menyenaraikan 55 Tapak Warisan Dunia di Jerman, 52 daripadanya tapak kebudayaan.[191] Tradisi yang masih diamalkan turut dipelihara melalui daftar kebangsaan Bundesweites Verzeichnis des Immateriellen Kulturerbes. Selepas lima tradisi baharu ditambah pada Mac 2026, daftar itu merangkumi 173 bentuk ekspresi kebudayaan yang diamalkan dan diwariskan di Jerman.[192]

Kesusasteraan dan pemikiran

[sunting | sunting sumber]
Patung gangsa Goethe dan Schiller berdiri bersama di hadapan teater di Weimar
Monumen Goethe dan Schiller di Weimar. Kedua-duanya merupakan tokoh utama perkembangan kebudayaan yang kini diperingati melalui Tapak Warisan Dunia Classical Weimar.

Warisan kesusasteraan berbahasa Jerman merangkumi karya sejak Zaman Pertengahan. Nibelungenlied, sebuah puisi kepahlawanan dalam bahasa Jerman Hulu Pertengahan, merupakan antara karya terpenting tradisi epik tersebut; manuskrip utamanya dimasukkan ke dalam Daftar Memori Dunia UNESCO pada 2009.[193] Pada akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, Weimar berkembang menjadi salah satu pusat kesusasteraan dan pemikiran Eropah. Johann Wolfgang von Goethe dan Friedrich Schiller menjadi tokoh utama Klasisisme Weimar, suatu zaman perkembangan kebudayaan yang turut melibatkan sarjana, ahli falsafah, seni bina dan seni taman.[194]

Tradisi Romantisisme turut mempengaruhi pengumpulan cerita rakyat. Jacob dan Wilhelm Grimm, yang dikenali sebagai Adik-beradik Grimm, menerbitkan jilid pertama Kinder- und Hausmärchen pada 1812 dan akhirnya menghimpunkan lebih daripada 200 teks daripada sumber lisan dan bertulis. Koleksi tersebut menjadi karya klasik kesusasteraan dunia dan telah diterjemahkan ke dalam lebih daripada 160 bahasa dan ragam bahasa.[195] Pada abad ke-20 dan ke-21, kesusasteraan berbahasa Jerman terus mendapat pengiktirafan antarabangsa. Thomas Mann, Günter Grass dan Herta Müller masing-masing menerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan pada 1929, 1999 dan 2009.[196][197][198] Pesta Buku Frankfurt pula, yang diasaskan dalam bentuk modennya pada 1949 di Paulskirche, berkembang menjadi forum antarabangsa utama bagi penerbit, pengarang dan industri kandungan.[199]

Jerman juga mempunyai tradisi falsafah yang berpengaruh. Idealisme Jerman berkembang daripada falsafah kritis Immanuel Kant dan kemudiannya dikaitkan terutamanya dengan Johann Gottlieb Fichte, Friedrich Wilhelm Joseph Schelling dan Georg Wilhelm Friedrich Hegel.[200] Pemikiran Hegel kemudiannya mempengaruhi pelbagai tradisi, termasuk karya Karl Marx serta, pada abad ke-20, sebahagian pemikir Mazhab Frankfurt dan Jürgen Habermas.[201] Friedrich Nietzsche pula menjadi salah seorang pengkritik penting moral, agama dan falsafah Eropah pada penghujung abad ke-19.[202]

Muzik dan seni persembahan

[sunting | sunting sumber]

Tradisi muzik klasik Jerman berkait rapat dengan kehidupan istana, gereja dan bandar sejak zaman awal moden. Johann Sebastian Bach, yang dilahirkan di Eisenach pada 1685, berkhidmat sebagai Thomaskantor dan pengarah muzik di Leipzig mulai 1723 sehingga kematiannya pada 1750. Jawatan tersebut antara lain mewajibkannya menyediakan muzik bagi ibadat Ahad dan hari perayaan di gereja-gereja utama bandar itu.[203] Ludwig van Beethoven dilahirkan di Bonn pada 1770 dan menetap di sana sehingga berpindah ke Vienna pada 1792.[204] Gerakan terakhir Simfoni No. 9 beliau menggunakan puisi An die Freude karya Schiller; manuskrip simfoni itu dimasukkan ke dalam Daftar Memori Dunia UNESCO pada 2001 kerana kepentingannya dalam sejarah muzik.[205]

Pada abad ke-19, Richard Wagner menggabungkan muzik, drama dan reka bentuk pentas dalam karya operanya serta menubuhkan Festival Bayreuth. Festival pertama diadakan pada 1876 di teater yang dibina khusus menurut gagasannya.[206] Warisan Wagner dan festival tersebut turut menjadi subjek penelitian kritis kerana antisemitisme Wagner serta hubungan institusi festival itu dengan rejim Sosialis Kebangsaan pada abad ke-20.[207]

Seni tampak dan seni bina

[sunting | sunting sumber]
Bangunan Bauhaus di Dessau dengan fasad kaca besar dan tulisan BAUHAUS pada dindingnya
Bangunan Bauhaus di Dessau. Tapak Bauhaus di Weimar, Dessau dan Bernau disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Jerman menjadi salah satu pusat perkembangan Ekspresionisme Eropah pada awal abad ke-20. Kumpulan Die Brücke diasaskan di Dresden pada 1905 oleh Ernst Ludwig Kirchner, Erich Heckel, Karl Schmidt-Rottluff dan Fritz Bleyl. Para anggotanya menolak sebahagian konvensi seni akademik dan mengembangkan bentuk serta penggunaan warna yang lebih langsung dan ekspresif; kumpulan itu berpindah ke Berlin pada 1911 sebelum dibubarkan pada 1913.[208] Di Munich, lingkaran Der Blaue Reiter yang dikaitkan dengan Wassily Kandinsky, Franz Marc, Gabriele Münter, Alexej von Jawlensky dan Marianne von Werefkin mengembangkan bahasa seni yang semakin abstrak; pameran pertamanya diadakan di Galerie Thannhauser pada 1911.[209]

Bauhaus, yang beroperasi dari 1919 hingga 1933, memberi pengaruh besar terhadap seni bina, reka bentuk dan seni gunaan moden. Sekolah tersebut mula beroperasi di Weimar sebelum berpindah ke Dessau, dan tokoh seperti Walter Gropius, Hannes Meyer, László Moholy-Nagy dan Kandinsky mengembangkan pendekatan yang menghubungkan fungsi, bahan perindustrian, seni dan reka bentuk. UNESCO menganggap bangunan Bauhaus di Weimar, Dessau dan Bernau sebagai karya utama Modenisme yang memberi kesan antarabangsa terhadap seni bina dan perancangan bandar abad ke-20.[210]

Selepas Perang Dunia Kedua, pameran documenta di Kassel menjadi salah satu wahana penting bagi penyambungan semula seni Jerman dengan perkembangan seni antarabangsa. Pameran pertama dianjurkan oleh Arnold Bode pada 1955 untuk memperkenalkan semula seni moden abad ke-20 yang telah dikecam sebagai "seni merosot" oleh pihak Nazi. Kejayaannya membawa kepada pembentukan siri pameran berkala yang kemudian menumpukan seni kontemporari antarabangsa.[211]

Sinema Jerman mengalami zaman perkembangan penting semasa Republik Weimar. Filem seperti Das Cabinet des Dr. Caligari, Nosferatu, Metropolis dan Der blaue Engel memperkenalkan pendekatan baharu terhadap sinematografi, reka bentuk set dan penceritaan serta mempengaruhi perkembangan filem antarabangsa. Perkembangan ini terputus selepas Adolf Hitler berkuasa pada 1933. Penggiat filem berketurunan Yahudi dan penentang politik disingkirkan daripada industri, dan ramai pembikin filem termasuk Fritz Lang serta Max Ophüls meninggalkan Jerman.[212]

Pembahagian Jerman selepas 1945 menghasilkan sistem perfileman yang berbeza. Di Jerman Timur, pengeluaran DEFA tertakluk pada pengawasan dan penapisan negara. Di Jerman Barat pula, generasi pembikin filem yang muncul pada pertengahan 1960-an melahirkan gerakan yang dikenali sebagai Sinema Jerman Baru, dengan pengarah seperti Rainer Werner Fassbinder, Werner Herzog, Alexander Kluge, Margarethe von Trotta dan Wim Wenders memperoleh pengiktirafan antarabangsa.[213] Selepas penyatuan semula Jerman, industri filem berkembang dalam kerangka kebangsaan yang sama dan semakin melibatkan penerbitan bersama antarabangsa. Festival Filem Antarabangsa Berlin, atau Berlinale, yang diasaskan pada 1951, kekal sebagai salah satu acara utama dalam kalendar industri filem antarabangsa dan antara festival filem dengan penonton awam terbesar.[214]

Tradisi, perayaan dan makanan

[sunting | sunting sumber]

Masakan Jerman mempunyai variasi wilayah yang ketara, dan tradisi makanan sering berkait dengan sejarah, keadaan pertanian dan identiti tempatan. Kebudayaan roti Jerman, misalnya, berkembang dalam pelbagai bentuk serantau hasil perbezaan bahan mentah, keadaan tanah dan iklim serta perkembangan sejarah setiap wilayah. Tradisi tersebut dimasukkan ke dalam daftar kebangsaan warisan kebudayaan tidak ketara pada 2014.[215] Pembuatan bir secara kraf, yang turut mempunyai tradisi serantau dan dikaitkan dengan pelbagai pesta serta amalan sosial, dimasukkan ke dalam daftar yang sama pada 2020.[216]

Antara perayaan serantau yang paling terkenal di peringkat antarabangsa ialah Oktoberfest di Munich, yang berasal daripada sambutan perkahwinan Putera Mahkota Ludwig, kemudian Ludwig I dari Bavaria, dengan Puteri Therese dari Saxe-Hildburghausen pada 1810. Perlumbaan kuda yang diadakan pada penghujung sambutan tersebut di kawasan yang kemudian dinamakan Theresienwiese diulangi pada tahun berikutnya dan menjadi asas tradisi Oktoberfest.[217] Walaupun sering digunakan sebagai lambang budaya Jerman di luar negara, Oktoberfest berasal secara khusus daripada tradisi Bavaria dan merupakan salah satu daripada pelbagai pesta rakyat serantau di Jerman.

Sukan tersusun di Jerman berasaskan rangkaian kelab yang luas. Pada 1 Januari 2025, Deutscher Olympischer Sportbund (DOSB) merekodkan kira-kira 29.3 juta keahlian dalam sekitar 86,000 kelab sukan, jumlah tertinggi sejak bancian keahliannya bermula pada 1954.[218] Berdasarkan bilangan keahlian, Persatuan Bola Sepak Jerman (Deutscher Fußball-Bund, DFB) ialah persekutuan sukan terbesar dalam sistem DOSB.[219] Pada musim 2025/26, DFB mempunyai 8.2 juta keahlian dan 23,713 kelab bersekutu.[220]

Pemain pasukan Jerman meraikan kemenangan Piala Dunia FIFA 2014
Pemain Jerman meraikan kejuaraan Piala Dunia FIFA 2014.

Bola sepak merupakan cabang sukan yang paling besar di Jerman dari segi keahlian persatuan.[219] Liga divisyen teratasnya, Bundesliga, juga mempunyai jumlah penonton yang tinggi. Pada musim 2025/26, sebanyak 12,718,097 tiket Bundesliga diedarkan, bersamaan purata 41,562 tiket bagi setiap perlawanan; angka rasmi ini merangkumi tiket percuma dan kehormat.[221] Pasukan kebangsaan lelaki memenangi Piala Dunia FIFA pada 1954, 1974 dan 1990 sebagai Jerman Barat, serta pada 2014 selepas penyatuan semula.[222] Pasukan itu juga menjuarai Kejuaraan Eropah UEFA pada 1972 dan 1980 sebagai Jerman Barat serta pada 1996 sebagai Jerman yang disatukan semula.[223]

Pasukan kebangsaan wanita pula memenangi Piala Dunia Wanita FIFA pada 2003 dan 2007 serta memegang rekod lapan gelaran Kejuaraan Wanita Eropah UEFA, yang diraih antara 1989 dengan 2013.[224] Sehingga 2026, Jerman merupakan satu daripada hanya dua negara, bersama Sepanyol, yang pernah memenangi Piala Dunia FIFA lelaki dan wanita.[222] Jerman juga beberapa kali menganjurkan kejohanan bola sepak antarabangsa utama: Jerman Barat menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 1974 dan UEFA Euro 1988, manakala Jerman yang disatukan semula menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2006 dan UEFA Euro 2024.[225]

Sukan berpasukan lain turut mempunyai tradisi yang kukuh. Dalam bola keranjang, pasukan lelaki Jerman memenangi Piala Dunia Bola Keranjang FIBA 2023 untuk kali pertama selepas menewaskan Serbia dalam perlawanan akhir.[226] Dua tahun kemudian, pasukan itu memenangi EuroBasket 2025, gelaran Eropah keduanya selepas kemenangan pada 1993.[227] Dalam bola baling, pasukan lelaki Jerman menjadi juara Eropah pada 2004 dan 2016 serta naib juara pada 2026.[228]

Michael Schumacher memandu kereta Ferrari pada 2004
Michael Schumacher memandu Ferrari pada Grand Prix Amerika Syarikat 2004.

Jerman juga mempunyai tradisi penting dalam sukan permotoran, melalui pengeluar kenderaan dan pemandunya. Dalam perlumbaan ketahanan 24 Hours of Le Mans, Porsche memegang rekod pengeluar dengan 19 kemenangan keseluruhan, manakala Audi mencatatkan 13 kemenangan sepanjang penyertaannya.[229] Rekod 19 kemenangan Porsche kekal tidak berubah menjelang edisi 2026.[230] Dalam Formula Satu, Michael Schumacher memenangi tujuh Kejuaraan Pemandu Dunia pada 1994, 1995 dan dari 2000 hingga 2004,[231] manakala Sebastian Vettel memenangi empat gelaran berturut-turut dari 2010 hingga 2013.[232]

Sejarah Jerman dalam Sukan Olimpik berkait rapat dengan pembahagian politik negara itu selepas Perang Dunia Kedua. Atlet Jerman Timur dan Jerman Barat bertanding bersama dalam Pasukan Bersatu Jerman pada Sukan Olimpik 1956, 1960 dan 1964. Kedua-dua negara menghantar pasukan berasingan mulai 1968, sebelum Jerman yang disatukan semula kembali bertanding sebagai satu pasukan pada Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Musim Panas 1992.[233] Jerman pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 1936 di Berlin dan Sukan Olimpik Musim Sejuk 1936 di Garmisch-Partenkirchen, manakala Jerman Barat menganjurkan Sukan Olimpik Musim Panas 1972 di Munich.[233]

Kejayaan sukan elit Jerman Timur pula berlaku dalam konteks sistem sukan yang sangat dikawal oleh negara. Penyelidikan selepas penyatuan semula mendokumentasikan program doping paksa yang dikendalikan negara dan dilaksanakan secara sistematik sejak 1970-an, termasuk terhadap atlet bawah umur.[234] Dalam sukan musim sejuk, Jerman mempunyai rekod yang sangat kukuh khususnya dalam luge dan bobsleigh. Apabila pencapaian Pasukan Bersatu Jerman, Jerman Barat, Jerman Timur dan Jerman yang disatukan semula digabungkan, Persekutuan Luge Antarabangsa (FIL) menyenaraikan Jerman sebagai negara paling berjaya dalam sejarah luge Olimpik.[235]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. "The national anthem" (dalam bahasa Inggeris). Bundestag Jerman. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  2. "§ 23 Amtssprache" (dalam bahasa Jerman). Kementerian Kehakiman Persekutuan Jerman. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  3. "Frank-Walter Steinmeier" (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Presiden Persekutuan Jerman. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  4. "Biography of Federal Chancellor Friedrich Merz" (dalam bahasa Inggeris). Kerajaan Persekutuan Jerman. 6 Mei 2025. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  5. 1 2 "Floor area total according to types of use in Germany" (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Perangkaan Persekutuan Jerman (Destatis). Dicapai pada 19 Julai 2026.
  6. 1 2 "Population by nationality and federal states" (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Perangkaan Persekutuan Jerman (Destatis). Dicapai pada 19 Julai 2026.
  7. 1 2 3 4 5 "Germany". IMF DataMapper (dalam bahasa Inggeris). Tabung Kewangan Antarabangsa. April 2026. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  8. "Einkommensungleichheit" (dalam bahasa Jerman). Pejabat Perangkaan Persekutuan Jerman (Destatis). Dicapai pada 19 Julai 2026.
  9. 1 2 "Human Development Report 2025: Human Development Index and its components" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 6 Mei 2025. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  10. "Germany: report on the implementation of recommendations for immediate action for regional and minority language use" (dalam bahasa Inggeris). Majlis Eropah. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  11. "German history up to 1945". Deutschland.de (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Luar Persekutuan Jerman. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  12. "Germany: facts and figures". Deutschland.de (dalam bahasa Inggeris). Pejabat Luar Persekutuan Jerman. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  13. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama "BasicLaw"
  14. "Germany — EU country" (dalam bahasa Inggeris). Kesatuan Eropah. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  15. "Germany" (dalam bahasa Inggeris). Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  16. "NATO member countries" (dalam bahasa Inggeris). Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  17. "Germany" (dalam bahasa Inggeris). Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi. Dicapai pada 19 Julai 2026.
  18. Jill N. Claster (1982). Pengalaman Zaman Pertengahan: 300 - 1400 (dalam bahasa Inggeris). Percetakan NYU. ISBN 0814713815.
  19. Sejarah Purba Cambridge. ISBN 0521301998.
  20. Gerhard Rempel. "Peperangan Tiga Puluh Tahun" (dalam bahasa Inggeris).
  21. Alan McFarlane (2003). "Peperangan Tiga Puluh Tahun (1618-48)". Jumlah Kematian Terpilih bagi Peperangan, Pembunuhan beramai-ramai dan Kekejaman sebelum Kurun Ke-20 (dalam bahasa Inggeris).
  22. Mary Fullbrook (1991). Sejarah Ringkas Jerman (dalam bahasa Inggeris). Penerbitan Universiti Cambridge. m/s. ms. 97. ISBN 0521540712.
  23. Norman Martin (5 Oktober 2000). "Gabungan Jerman 1815-1866 (Jerman)" (dalam bahasa Inggeris). Flags of the World. Dicapai pada 2008-09-04.
  24. Stephen J. Lee (2003). Eropah, 1890-1945 (dalam bahasa Inggeris). m/s. ms. 131. ISBN 0415254558.
  25. Roderick Stackelberg (1999). Jerman di bawah Hitler: Asal-usul, tafsiran dan warisan (dalam bahasa Inggeris). Routledge. ISBN 0415201144.
  26. Raffael Scheck. "Pembentukan Pemerintahan Diktator: Penstabilan Kuasa Nazi" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-01-14. Dicapai pada 2009-09-07.
  27. "Bonn". Ensyclopedia Britannica (dalam bahasa Inggeris). Britannica. Dicapai pada 2009-09-08.
  28. Nico Colchester (1 Januari 2001). "Hari D-mark sudah tiba" (dalam bahasa Inggeris). Financial Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-05-01. Dicapai pada 2009-09-08.
  29. "Sebuah pembahagian yang adil. 10 Tahun sebelum ini: Bundestag meluluskan Akta Bonn-Berlin". 10 Mac 2004. Dicapai pada 2009-09-08.
  30. Judy Dempsey (31 Oktober 2006). "Jerman merancang pengunduran di Bosnia" (dalam bahasa Inggeris). International Herald Tribune. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-10-07. Dicapai pada 2009-09-08.
  31. 1 2 "Geografie und Klima". deutschland.de (dalam bahasa Jerman). 18 Januari 2018. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  32. 1 2 "Bodenfläche nach Nutzungsarten und Bundesländern" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt (Destatis). Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  33. "Zusammenarbeit in Grenzräumen" (dalam bahasa Jerman). Auswärtiges Amt. 23 Mac 2026. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  34. "Biogeografische Regionen und naturräumliche Haupteinheiten Deutschlands" (dalam bahasa Jerman). Bundesamt für Naturschutz. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  35. "Flüsse" (dalam bahasa Jerman). Umweltbundesamt. 30 Ogos 2023. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  36. "Seen" (dalam bahasa Jerman). Umweltbundesamt. 20 September 2024. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  37. 1 2 Deutscher Wetterdienst (2026). "Klimastatusbericht Deutschland Jahr 2025" (PDF) (dalam bahasa Jerman). Offenbach: Deutscher Wetterdienst, Geschäftsbereich Klima und Umwelt. m/s. 10–12. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  38. Deutscher Wetterdienst (2026). "Klimastatusbericht Deutschland Jahr 2025" (PDF) (dalam bahasa Jerman). Offenbach: Deutscher Wetterdienst, Geschäftsbereich Klima und Umwelt. m/s. 18. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  39. "Indicator: Species diversity and landscape quality" (dalam bahasa Inggeris). Umweltbundesamt. 18 November 2025. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  40. "Nationalparke in Deutschland" (dalam bahasa Jerman). Bundesamt für Naturschutz. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  41. "Natura 2000 Gebiete" (dalam bahasa Jerman). Bundesamt für Naturschutz. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  42. "Nährstoffkonzentrationen in Fließgewässern" (dalam bahasa Jerman). Umweltbundesamt. 17 Ogos 2026. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  43. "Indikator: Nitrat im Grundwasser" (dalam bahasa Jerman). Umweltbundesamt. 10 Februari 2026. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  44. 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 31 Ogos 2026. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "GG" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  45. "23. Mai 1949: Parlamentarischer Rat verkündet das Grundgesetz". Deutscher Bundestag (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  46. "Wahl des Bundespräsidenten". Der Bundespräsident (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  47. "Frank-Walter Steinmeier". Der Bundespräsident (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  48. "Rolle im Staat". Der Bundespräsident (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  49. "Friedrich Merz: Bundeskanzler". Die Bundesregierung (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  50. "Holder of the second-highest office of state: Julia Klöckner". German Bundestag (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  51. "Das Wahlsystem". Die Bundeswahlleiterin (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  52. 1 2 "Bundestagswahl 2025: Endgültiges Ergebnis". Die Bundeswahlleiterin (dalam bahasa Jerman). 14 Mac 2025. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  53. 1 2 "Aufgaben & Organisation". Bundesverfassungsgericht (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  54. "Koalitionsvertrag zwischen CDU, CSU und SPD". Die Bundesregierung (dalam bahasa Jerman). 6 Mei 2025. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  55. "Schwerpunkte des Koalitionsvertrages". Die Bundesregierung (dalam bahasa Jerman). 4 Mei 2026. Dicapai pada 31 Ogos 2026.
  56. 1 2 "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  57. Sturm, Roland (3 May 2013). "Landespolitik". Bundeszentrale für politische Bildung (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  58. "1949: Staatsgründung, Justiz und Verwaltung". Bundeszentrale für politische Bildung (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  59. "Entwurf eines Gesetzes zu dem Vertrag vom 31. August 1990 zwischen der Bundesrepublik Deutschland und der Deutschen Demokratischen Republik über die Herstellung der Einheit Deutschlands – Einigungsvertragsgesetz" (PDF) (dalam bahasa Jerman). Deutscher Bundestag. 31 August 1990. Dicapai pada 1 September 2026.
  60. "Deutschland, die föderale Republik". deutschland.de (dalam bahasa Jerman). 11 September 2024. Dicapai pada 1 September 2026.
  61. "Landesverfassung der Freien Hansestadt Bremen in der Fassung der Bekanntmachung vom 12. August 2019". Transparenzportal Bremen (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  62. "Bodenfläche nach Nutzungsarten und Bundesländern am 31.12.2024". Statistisches Bundesamt (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  63. 1 2 3 4 "Bevölkerung am 31.12.2025 nach Nationalität und Bundesländern". Statistisches Bundesamt (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "DestatisPop2025" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  64. "Treaty establishing the European Economic Community (Deposited with the Government of the Italian Republic)" (dalam bahasa Inggeris). Council of the European Union. Dicapai pada 1 September 2026.
  65. "NATO member countries" (dalam bahasa Inggeris). NATO. 11 Mac 2024. Dicapai pada 1 September 2026.
  66. "Germany" (dalam bahasa Inggeris). United Nations. Dicapai pada 1 September 2026.
  67. "German-French cooperation" (dalam bahasa Inggeris). Federal Foreign Office. 8 Mei 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  68. "Transatlantic relations" (dalam bahasa Inggeris). Federal Foreign Office. 24 Februari 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  69. "12. August 1970: Unterzeichnung des Moskauer Vertrags" (dalam bahasa Jerman). Bundeszentrale für politische Bildung. 10 Ogos 2015. Dicapai pada 1 September 2026.
  70. "Verlautbarung der Pressestelle des Bundesverfassungsgerichts" (dalam bahasa Jerman). Bundesverfassungsgericht. 12 Julai 1994. Dicapai pada 1 September 2026.
  71. "KFOR: Geschichte des NATO-Einsatzes in Kosovo" (dalam bahasa Jerman). Bundeswehr. 11 Jun 2024. Dicapai pada 1 September 2026.
  72. "National Security Strategy adopted by the German Federal Cabinet" (dalam bahasa Inggeris). Federal Foreign Office. 14 Jun 2023. Dicapai pada 1 September 2026.
  73. "Shaping the Future Together Globally" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Federal Ministry for Economic Cooperation and Development. 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  74. "Cooperation with humanitarian relief organisations" (dalam bahasa Inggeris). Federal Foreign Office. 6 Julai 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  75. "Development Co-operation Profiles: Germany" (dalam bahasa Inggeris). OECD. 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  76. ""Shaping the future together globally" – Federal Minister Alabali Radovan presents reform plan" (dalam bahasa Inggeris). Federal Ministry for Economic Cooperation and Development. 12 Januari 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  77. "Reform plan Shaping the future together globally" (dalam bahasa Inggeris). Federal Ministry for Economic Cooperation and Development. Dicapai pada 1 September 2026.
  78. "How the Bundeswehr is organised" (dalam bahasa Inggeris). Bundeswehr. 7 Julai 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  79. "Aktuelle Personalzahlen der Bundeswehr" (dalam bahasa Jerman). Bundeswehr. Dicapai pada 1 September 2026.
  80. "Auslandseinsätze der Bundeswehr" (dalam bahasa Jerman). Deutscher Bundestag. Dicapai pada 1 September 2026.
  81. "Neuer attraktiver Wehrdienst beschlossen" (dalam bahasa Jerman). Bundesregierung. 19 Disember 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  82. "Panzerbrigade 45" (dalam bahasa Jerman). Bundeswehr. 9 Julai 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  83. "Bundeshaushalt 2026: Investitionen für die Zukunft" (dalam bahasa Jerman). Bundesregierung. Dicapai pada 1 September 2026.
  84. 1 2 3 4 "National legislation". European e-Justice Portal (dalam bahasa Inggeris). European Commission. Dicapai pada 1 September 2026.
  85. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 20". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  86. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 92". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  87. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 97". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  88. 1 2 "Types of proceedings". Bundesverfassungsgericht (dalam bahasa Inggeris). Federal Constitutional Court. Dicapai pada 1 September 2026.
  89. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 100". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  90. "Gesetz über das Bundesverfassungsgericht, § 31". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  91. 1 2 "Rechtliche Grundlagen". Bundesfinanzhof (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  92. "Instanzen und Rechtsmittel". Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz (dalam bahasa Jerman). 10 April 2023. Dicapai pada 1 September 2026.
  93. "Gerichtsverfassungsgesetz, § 12". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  94. "Bürgerliches Gesetzbuch". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  95. "Strafgesetzbuch". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  96. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 103". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  97. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 102". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  98. "Völkerstrafgesetzbuch". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  99. "Völkerstrafgesetzbuch, § 1 Anwendungsbereich". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  100. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 70". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  101. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 73". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  102. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 72–74". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  103. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 31". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  104. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 50". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  105. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 77". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  106. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 83". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  107. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland, Art. 84". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium der Justiz und für Verbraucherschutz; Bundesamt für Justiz. Dicapai pada 1 September 2026.
  108. "Die 16 Unbekannten: Verfassungsgerichte der Länder". SWR (dalam bahasa Jerman). 31 July 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  109. "Council Decision (EU, Euratom) 2024/3231 of 17 December 2024 amending the Council's Rules of Procedure". EUR-Lex (dalam bahasa Inggeris). European Union. 17 Disember 2024. Dicapai pada 1 September 2026.
  110. "Bevölkerung Deutschlands sinkt im Jahr 2025 um 0,1 %" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt. 16 Jun 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  111. "Zusammengefasste Geburtenziffer sinkt im Jahr 2025 auf 1,32 Kinder je Frau" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt. 1 Julai 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  112. "Bereits 2035 wird in Deutschland ein Viertel der Bevölkerung 67 Jahre und älter sein" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt. 11 Disember 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  113. "21,8 Millionen Menschen in Deutschland mit Einwanderungsgeschichte im Jahr 2025" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt. 13 April 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  114. "Zensus 2022: 82,7 Millionen Einwohnerinnen und Einwohner" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt. Dicapai pada 1 September 2026.
  115. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland: Art 4". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  116. "Grundgesetz für die Bundesrepublik Deutschland: Art 140". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  117. "Häufig gestellte Fragen" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt. Dicapai pada 1 September 2026.
  118. "Kirchenstatistik 2025" (dalam bahasa Jerman). Deutsche Bischofskonferenz. 16 Mac 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  119. "Menschen christlichen Glaubens in Deutschland" (dalam bahasa Jerman). Evangelische Kirche in Deutschland. Dicapai pada 1 September 2026.
  120. "Muslimisches Leben in Deutschland 2020" (dalam bahasa Jerman). Bundesamt für Migration und Flüchtlinge. Dicapai pada 1 September 2026.
  121. "Verwaltungsverfahrensgesetz (VwVfG): § 23 Amtssprache". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  122. "Linguistic diversity in the EU" (dalam bahasa Inggeris). European Commission. Dicapai pada 1 September 2026.
  123. "77 % der Bevölkerung sprechen zu Hause ausschließlich Deutsch" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt. 17 Februari 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  124. "Reservations and Declarations for Treaty No.148 - European Charter for Regional or Minority Languages (ETS No. 148)" (dalam bahasa Inggeris). Council of Europe. Dicapai pada 1 September 2026.
  125. "What languages does the European Charter for Regional or Minority Languages apply to?" (dalam bahasa Inggeris). Council of Europe. Dicapai pada 1 September 2026.
  126. "Germany as a centre of business" (dalam bahasa Inggeris). Federal Government of Germany. Dicapai pada 1 September 2026.
  127. "Bruttoinlandsprodukt: Ausführliche Ergebnisse zur Wirtschaftsleistung im 2. Quartal 2026" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt. 25 Ogos 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  128. "Joining the euro area" (dalam bahasa Inggeris). European Central Bank. Dicapai pada 1 September 2026.
  129. "ECB, ESCB and the Eurosystem" (dalam bahasa Inggeris). European Central Bank. Dicapai pada 1 September 2026.
  130. "EU-Industrie, Handel und Dienstleistungen" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt. 28 April 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  131. "Gross domestic product up 0.2% in 2025" (dalam bahasa Inggeris). Federal Statistical Office. Dicapai pada 1 September 2026.
  132. "Politik für den Mittelstand" (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium für Wirtschaft und Energie. Dicapai pada 1 September 2026.
  133. "Exports in December 2025: +4.0% on November 2025" (dalam bahasa Inggeris). Federal Statistical Office. Dicapai pada 1 September 2026.
  134. 1 2 "Germany: 2025 Article IV Consultation—Press Release; Staff Report; and Statement by the Executive Director for Germany" (dalam bahasa Inggeris). International Monetary Fund. 12 Februari 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  135. "Jahresrückblick 2025" (dalam bahasa Jerman). Bundesagentur für Arbeit. 7 Januari 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  136. "Mittlerer Bruttojahresverdienst lag 2025 bei 54 066 Euro" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt. Dicapai pada 1 September 2026.
  137. "Gesetz zur Errichtung eines Sondervermögens Infrastruktur und Klimaneutralität (SVIKG)". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). 30 September 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  138. 1 2 "Erneuerbare Energien in Deutschland: Wachstum 2025 verhalten" (dalam bahasa Jerman). Umweltbundesamt. 5 Mac 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  139. "Indicator: Share of renewables in gross electricity consumption" (dalam bahasa Inggeris). German Environment Agency. 15 Mei 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  140. "Deutschland beendet das Zeitalter der Atomkraft" (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium für Wirtschaft und Klimaschutz. 13 April 2023. Dicapai pada 1 September 2026.
  141. "Längenstatistik der Straßen des überörtlichen Verkehrs, Stand: 1. Januar 2025" (PDF) (dalam bahasa Jerman). Bundesministerium für Verkehr. 1 Julai 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  142. "§ 3 StVO 2013 – Geschwindigkeit". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  143. "§ 1 Autobahn-Richtgeschwindigkeits-V". Gesetze im Internet (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  144. "Entwicklung im Berichtsjahr". Geschäftsbericht Deutsche Bahn 2025 (dalam bahasa Jerman). Deutsche Bahn AG. Dicapai pada 1 September 2026.
  145. "ICE 3: Germany's first 300 km/h train" (dalam bahasa Inggeris). Deutsche Bahn. Dicapai pada 1 September 2026.
  146. "Seeverkehr 2025: Güterumschlag steigt um 3,8 % gegenüber dem Vorjahr" (dalam bahasa Jerman). Statistisches Bundesamt. Dicapai pada 1 September 2026.
  147. "Fraport Traffic Figures 2025: Broad Growth Across Airport Portfolio" (dalam bahasa Inggeris). Fraport AG. 16 Januari 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  148. "Basic Law for the Federal Republic of Germany". Gesetze im Internet (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  149. "Max Planck – Facts". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  150. "Albert Einstein – Facts". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  151. "Werner Heisenberg – Facts". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  152. "Max Born – Facts". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  153. "Wilhelm Conrad Röntgen – Facts". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  154. "Gottfried Leibniz (1646–1716)". MacTutor History of Mathematics (dalam bahasa Inggeris). University of St Andrews. Dicapai pada 1 September 2026.
  155. "Carl Friedrich Gauss (1777–1855)". MacTutor History of Mathematics (dalam bahasa Inggeris). University of St Andrews. Dicapai pada 1 September 2026.
  156. "David Hilbert (1862–1943)". MacTutor History of Mathematics (dalam bahasa Inggeris). University of St Andrews. Dicapai pada 1 September 2026.
  157. "Alexander von Humboldt and Aimé Bonpland's Géographie des plantes Équinoxiales: Tableau physique des Andes et Pays voisins". Smithsonian American Art Museum (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  158. "History of Experimental Psychology in Leipzig". Leipzig University (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  159. "Fritz Haber – Facts". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  160. "Carl Bosch – Facts". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  161. "All Nobel Prizes in Physiology or Medicine". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  162. "Emil von Behring – Facts". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  163. "Selected Bibliography – The Gutenberg Bible at the Library of Congress: A Resource Guide". Library of Congress (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  164. "First Generation and Experimental Proof of Electromagnetic Waves, 1886–1888". Engineering and Technology History Wiki (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  165. "Computers". Deutsches Museum (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  166. "Wernher von Braun". NASA (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  167. 1 2 "2 Das deutsche Forschungs- und Innovationssystem". Bundesbericht Forschung und Innovation 2026 (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  168. "Gottfried Wilhelm Leibniz Prize". Deutsche Forschungsgemeinschaft (DFG) (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  169. "3,8 % mehr Ausgaben für Forschung und Entwicklung im Jahr 2024". Statistisches Bundesamt (dalam bahasa Jerman). 27 Mac 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  170. "Expenditure on research and development by sector". German Federal Statistical Office (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  171. "Hightech Agenda Deutschland". Bundesregierung (dalam bahasa Jerman). 29 Oktober 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  172. "EPO Technology Dashboard 2025 – Statistics at a glance" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). European Patent Office. Dicapai pada 1 September 2026.
  173. "Demand for European patents exceeds 200 000 for first time, confirming Europe's competitiveness as a global tech hub" (dalam bahasa Inggeris). European Patent Office. 24 Mac 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  174. 1 2 "The Education System in the Federal Republic of Germany 2023/2024" (PDF) (dalam bahasa Inggeris). Kultusministerkonferenz. Dicapai pada 1 September 2026.
  175. "General Education Schools". Kultusministerkonferenz (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  176. "Betreuungsquote von Kindern unter 6 Jahren nach Bundesländern". Statistisches Bundesamt (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  177. "Bildungswege und Abschlüsse in Deutschland". Kultusministerkonferenz (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  178. "Grundschule (Primarbereich)". Kultusministerkonferenz (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  179. "Sekundarstufe I". Kultusministerkonferenz (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  180. "Gymnasiale Oberstufe und Abitur". Kultusministerkonferenz (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  181. "PISA 2022 Results (Volume I and II) – Country Notes: Germany" (dalam bahasa Inggeris). OECD. 5 December 2023. Dicapai pada 1 September 2026.
  182. "Duales System der beruflichen Ausbildung". Kultusministerkonferenz (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  183. "The German VET system". Federal Institute for Vocational Education and Training (dalam bahasa Inggeris). Bundesinstitut für Berufsbildung. Dicapai pada 1 September 2026.
  184. "Hochschulreife über berufliche Bildungsgänge". Kultusministerkonferenz (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  185. "Types of higher education institutions". Higher Education Compass (dalam bahasa Inggeris). German Rectors' Conference. Dicapai pada 1 September 2026.
  186. "Hochschulzugang mit Abschlüssen der beruflichen Aus- und Weiterbildung". Kultusministerkonferenz (dalam bahasa Jerman). Dicapai pada 1 September 2026.
  187. "Academic Studies and Examinations". Kultusministerkonferenz (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  188. "Wintersemester 2025/2026: 0,4 % mehr Studierende als im Vorjahr". Statistisches Bundesamt (dalam bahasa Jerman). 28 November 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  189. "Costs of education and living". DAAD (dalam bahasa Inggeris). Deutscher Akademischer Austauschdienst. Dicapai pada 1 September 2026.
  190. "Staatsminister und sein Amt" (dalam bahasa Jerman). Der Beauftragte der Bundesregierung für Kultur und Medien. Dicapai pada 1 September 2026.
  191. "Germany". UNESCO World Heritage Convention (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 1 September 2026.
  192. "Immaterielles Kulturerbe in Deutschland: Neuzugänge im Bundesweiten Verzeichnis" (dalam bahasa Jerman). Deutsche UNESCO-Kommission. 27 March 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  193. "Song of the Nibelungs, a heroic poem from mediaeval Europe". Memory of the World (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 1 September 2026.
  194. "Classical Weimar". UNESCO World Heritage Convention (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 1 September 2026.
  195. "Märchen - Märchenland Deutschland - Grimms Märchen" (dalam bahasa Jerman). Goethe-Institut. Dicapai pada 1 September 2026.
  196. "Thomas Mann – Facts". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  197. "The Nobel Prize in Literature 1999". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  198. "Herta Müller – Facts". NobelPrize.org (dalam bahasa Inggeris). Nobel Prize Outreach. Dicapai pada 1 September 2026.
  199. "History" (dalam bahasa Inggeris). Frankfurter Buchmesse. Dicapai pada 1 September 2026.
  200. "German Idealism". Internet Encyclopedia of Philosophy (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  201. "Georg Wilhelm Friedrich Hegel". Stanford Encyclopedia of Philosophy (dalam bahasa Inggeris). Metaphysics Research Lab, Stanford University. 19 September 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  202. "Friedrich Nietzsche". Stanford Encyclopedia of Philosophy (dalam bahasa Inggeris). Metaphysics Research Lab, Stanford University. 25 June 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  203. "Johann Sebastian Bach – A chronology" (dalam bahasa Inggeris). Bach-Archiv Leipzig. Dicapai pada 1 September 2026.
  204. "Beethoven" (dalam bahasa Inggeris). Beethoven-Haus Bonn. Dicapai pada 1 September 2026.
  205. "Ludwig van Beethoven: Symphony no 9, d minor, op. 125". Memory of the World (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 1 September 2026.
  206. "Festival History – Origins at a Glance" (dalam bahasa Inggeris). Bayreuther Festspiele. Dicapai pada 1 September 2026.
  207. "The Bayreuth Festival" (dalam bahasa Inggeris). Bayreuther Festspiele. Dicapai pada 1 September 2026.
  208. "Artists" (dalam bahasa Inggeris). Brücke-Museum. Dicapai pada 1 September 2026.
  209. "The Blue Rider" (dalam bahasa Inggeris). Lenbachhaus. Dicapai pada 1 September 2026.
  210. "Bauhaus and its Sites in Weimar, Dessau and Bernau". UNESCO World Heritage Convention (dalam bahasa Inggeris). UNESCO. Dicapai pada 1 September 2026.
  211. "documenta" (dalam bahasa Inggeris). documenta und Museum Fridericianum gGmbH. Dicapai pada 1 September 2026.
  212. "Light and Shadow – On the Film Set of the Weimar Republic" (dalam bahasa Inggeris). Deutsche Kinemathek. Dicapai pada 1 September 2026.
  213. "Our permanent exhibition is closing" (dalam bahasa Inggeris). Deutsche Kinemathek. Dicapai pada 1 September 2026.
  214. "The Festival" (dalam bahasa Inggeris). Berlin International Film Festival. Dicapai pada 1 September 2026.
  215. "Deutsche Brotkultur" (dalam bahasa Jerman). Deutsche UNESCO-Kommission. Dicapai pada 1 September 2026.
  216. "Handwerkliches Bierbrauen" (dalam bahasa Jerman). Deutsche UNESCO-Kommission. Dicapai pada 1 September 2026.
  217. "The History of the Oktoberfest" (dalam bahasa Inggeris). Landeshauptstadt München. Dicapai pada 1 September 2026.
  218. "Nächster Mitgliederrekord im deutschen Sport". DOSB (dalam bahasa Jerman). 11 November 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  219. 1 2 "FAQ: Die Zahlen der Bestandserhebung". DOSB (dalam bahasa Jerman). 11 November 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  220. "DFB-Mitgliederstatistik: Positive Signale bei Mädchenteams, Kindern und Schiris". DFB (dalam bahasa Jerman). 16 Julai 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  221. "German football sets new ticket sales record in 2025/26 season". Bundesliga (dalam bahasa Inggeris). 30 Julai 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  222. 1 2 "Spain men and women make World Cup history" (dalam bahasa Inggeris). FIFA. 19 Julai 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  223. "Germany: All their EURO records and stats" (dalam bahasa Inggeris). UEFA. 5 Julai 2024. Dicapai pada 1 September 2026.
  224. "Germany first to 50 Women's EURO games: Their records, titles and stats" (dalam bahasa Inggeris). UEFA. 19 Julai 2025. Dicapai pada 1 September 2026.
  225. "Where will EURO 2024 take place?" (dalam bahasa Inggeris). UEFA. Dicapai pada 1 September 2026.
  226. "Dennis Schroder carries Germany to first-ever World Cup title". FIBA Basketball (dalam bahasa Inggeris). FIBA. Dicapai pada 1 September 2026.
  227. "Germany claim second FIBA EuroBasket title". FIBA Basketball (dalam bahasa Inggeris). FIBA. Dicapai pada 1 September 2026.
  228. "Germany - Players, Team & Season Info" (dalam bahasa Inggeris). European Handball Federation. Dicapai pada 1 September 2026.
  229. "Porsche en quête d'une 20e couronne aux 24 Heures du Mans". 24 Heures du Mans (dalam bahasa Perancis). 12 Jun 2024. Dicapai pada 1 September 2026.
  230. "Quelques chiffres clés à connaître avant le départ des 24 Heures du Mans 2026". 24 Heures du Mans (dalam bahasa Perancis). 13 Jun 2026. Dicapai pada 1 September 2026.
  231. "Michael Schumacher". Formula 1 (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  232. "Sebastian Vettel". Formula 1 (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  233. 1 2 "Germany (GER)". Olympedia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 1 September 2026.
  234. Spitzer, Carsten; Bley, Burkhard (27 April 2026). "Staatsdoping im DDR-Leistungssport: Gesundheitliche Folgen, Aufarbeitung und rechtlicher Ausgleich". Bundesgesundheitsblatt - Gesundheitsforschung - Gesundheitsschutz (dalam bahasa Jerman). 69 (7): 759–766. doi:10.1007/s00103-026-04238-2. PMID 42045688 Check |pmid= value (bantuan).
  235. "Focus on Cortina: Olympic stage for Luge in Cortina d'Ampezzo" (dalam bahasa Inggeris). International Luge Federation. 30 Januari 2026. Dicapai pada 1 September 2026.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
Wikibooks
Wikibooks
Buku resipi Wikibuku mempunyai resipi

Am

Atlas Wikimedia Germany

Fakta dan statistik